Isnin, 26 Jun 2017 | 5:24pm
Pengunjung menyaksikan persembahan aksi lasak kereta ketika pra pembukaan Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh. NSTP
Orang ramai beratur membeli tiket pada hari pertama pembukaan Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh. NSTP

Lebih 5,000 lawat hari pertama MAPS beroperasi


Pengunjung yang hadir pra pembukaan Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh. NSTP

IPOH: Lebih 5,000 mengunjungi hari pertama pra pembukaan taman tema animasi pertama Asia, Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini.

Pembukaan bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu turut berjalan lancar walaupun masih ada beberapa kawasan tarikan masih belum dibuka kerana masih dalam proses ujian teknikal.

Ahli Lembaga Pengarah MAPS, Ramelle Ramli berkata, sambutan yang diterima daripada pengunjung baik dan pihaknya menjangkakan mampu menerima kunjungan sehingga 10,000 pengunjung setiap hari khususnya ketika cuti umum dan hujung minggu selepas ia dibuka.

"Meskipun ada beberapa kawasan dan permainan yang masih belum beroperasi kerana masih dalam peringkat ujian di peringkat teknikal tetapi secara keseluruhan ia berjalan lancar.

"Kami akan mengumumkan kepada orang ramai perkembangan tarikan yang masih belum dibuka dalam jangka masa terdekat dan sangat mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada pengunjung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membawa media meninjau hari pertama pra pembukaan MAPS di sini hari ini.

Taman tema yang dibina dengan kos RM520 juta itu, MAPS menawarkan 40 tarikan di sepanjang enam zon bertema yang disediakan.

Dalam pada itu, Ramelle berkata pengunjung yang sudah membeli tiket secara dalam talian sebelum ini boleh menebus tiket percuma bagi setiap pembelian satu tiket yang ditawarkan sehingga 1 Julai dan boleh ditebus untuk digunakan sah sehingga 30 September ini.

Katanya, MAPS turut membuat promosi istimewa diskaun harga tiket sempena Aidilfitri pada harga RM131 bagi dewasa dan RM104 bagi kanak-kanak sehingga 1 Julai ini berbanding harga asal iaitu RM144 bagi dewasa dan RM114 bagi kanak-kanak pada hari biasa.

"Pembelian tiket pada harga diskaun itu berbaloi ditambah dengan pemberian tiket percuma bagi setiap pembelian tiket pada tempoh promosi kerana apa yang ditawarkan dengan 40 tarikan dan permainan yang boleh dicuba dan diterokai tidak terdapat dan ditawarkan di tempat lain," katanya.

47 dibaca
Berita Harian X