Isnin, 26 Jun 2017 | 7:02am

Penambahbaikan Iriz


IRIZ kini ditambah dengan ciri Bantuan Pemanduan ECO serta ECU diperhalusi.

PROTON Iriz yang ditambah baik diperkenalkan bagi memastikan model itu terus mendapat 'sentuhan' terbaharu daripada pengeluar kereta nasional.

Antara penambahbaikan yang dilakukan pada Iriz termasuk pengurangan bunyi, getaran dan kekasaran yang lebih baik.

Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (PROTON) juga menambah ciri Bantuan Pemanduan Eco serta memperhalusi pada penentu ukuran unit komputer atau ECU yang menyediakan tindak balas selari bagi pemanduan lebih baik.

Varian 1.3L Executive

Selain itu, varian 1.3L Executive menerima penambahbaikan dari segi butang penghidup enjin yang sebelum ini hanya dipasang dalam varian 1.6L.

"Kami juga membuat sedikit perbezaan dua tona warna pada bahagian luaran bagi varian 1.6L Premium, yang mana bumbung, spoiler dan cermin sisi berwarna hitam.

"Bagi bahagian dalam pula dilengkapi dengan jahitan merah pada stereng dan tempat duduk separa kulit menjadikan Iriz kelihatan lebih cantik, bergaya dan menonjol," kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ahmad Fuaad Kenali dalam satu kenyataan.

Sama dengan Persona

Dengan penambahbaikan terhadap Iriz, ia semakin hampir dengan 'kesempurnaan' model Persona yang dilancarkan PROTON pada Ogos lalu dengan pengurangan bunyi, getaran dan kekasaran serta penjimatan bahan api yang lebih baik.

"Saya menjawab secara positif kerana kami sememangnya sedang melakukan penambahbaikan terhadap Iriz pada masa itu. Hari ini, kami menunaikan janji. Iriz kini dilengkapi dengan ciri yang diperhalusi dan ditambah baik," katanya.

Walaupun terdapat penambahbaikan dan penghalusan dilakukan, ciri keselamatan standard dikekalkan pada Iriz, yang mana model ini sememangnya dikenali dengan ciri-ciri keselamatan yang hebat dan struktur "Hot Press Forming" (HPF).

Perlindungan optimum

Iriz juga mendapat penarafan lima bintang dari ASEAN NCAP untuk semua varian, dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif secara menyeluruh seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Tarikan, Bantuan Brek, Sistem Brek Anti-kunci (ABS), Bantuan Kawalan Cerun, ISOFIX serta enam beg udara untuk varian Premium bagi memastikan perlindungan optimum untuk kedua-dua pemandu dan penumpang.

Iriz juga diiktiraf sebagai model bertaraf ASEAN NCAP 5 bintang yang paling mampu dimiliki di rantau ini.

Sejak pertama kali diperkenalkan ke pasaran pada September 2014, PROTON menjual lebih 45,000 unit Proton Iriz. Ini menjadikannya kereta Proton kedua terlaris sejak dikeluarkan, selepas Proton Saga.

Info:
Proton Iriz

  • 4 varian - 1.3L Standard (MT & CVT), 1.3L Executive CVT dan 1.6L Premium CVT
  • Harga dari RM43,800 hingga RM58,800
  • 2 warna baharu iaitu Ruby Red dan Carnelian Brown
  • Warna sedia ada Graphite Grey, Atlantic Blue dan Cotton White
Berita Harian X