Sabtu, 24 Jun 2017 | 1:24pm

Pasar Tani Khas kawal harga barang


SAARANI (dua dari kanan) bersama Mastura (dua dari kiri) mengacau dodol pada pelancaran Pasar Tani Khas Pra Syawal di Pasar Tani Kuala Kangsar. - Foto ihsan FAMA

KUALA KANGSAR: Kewujudan Pasar Tani Khas Syawal adalah satu daripada inisiatif bagi mengawal harga barangan keperluan terpilih khususnya daging ayam dan lembu berikutan permintaan tinggi setiap kali menjelang Aidilfitri. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan program itu dapat memberi kemudahan serta penjimatan kepada pengguna mendapatkan barangan basah khususnya daging lembu dan ayam bagi menyambut lebaran.  

"Pasar tani kebiasaannya menawarkan harga yang lebih murah berbanding harga siling yang ditetapkan kerajaan dengan kualiti sama memandangkan peniaga di pasar itu rata-ratanya tidak memperolehi bekalan daripada orang tengah.

"Oleh itu, pengguna yang  keluar membeli barang keperluan bagi menyediakan juadah menyambut Syawal tidak perlu bimbang kekurangan bekalan memandangkan kita menyedari ia masih berada pada paras kawalan biasa," katanya. 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Tani Khas Pra  Syawal di Pasar Tani Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.  

Sebanyak 90 ekor lembu dan 15,000 ekor ayam diperuntukkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri untuk jualan di lapan Pasar Tani Khas Pra Syawal sekitar negeri ini yang berlangsung semalam dan hari ini. 

Saarani berkata, inisiatif FAMA itu berperanan memberi pilihan kepada orang ramai berbelanja selain memberi kesedaran kepada usahawan Pasar Tani untuk menyokong usaha kerajaan mengurangkan kos sara hidup pengguna. 

"Selain memberi penjimatan antara lima hingga 20 peratus berbanding harga pasaran, pelaksanaan pasar tani sempena Aidilfitri ini juga dapat meningkatkan pendapatan peserta khususnya golongan petani melalui jualan terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah atau peraih," katanya.

Berita Harian X