Sabtu, 24 Jun 2017 | 8:43am

Kvitova ke separuh akhir di Birmingham


PETRA Kvitova (kiri) mencatat kemenangan 6-4, 7-6 (7/5) ke atas Kristina Mladenovic. - Foto Reuters

BIRMINGHAM (United Kingdom): Juara Wimbledon dua kali, Petra Kvitova yang kariernya hampir tamat susulan serangan pisau tujuh bulan lalu, mara ke separuh akhir pertamanya sejak insiden itu apabila menang di Birmingham, awal pagi tadi.

Pemain Republik Czech itu mencatat kemenangan 6-4, 7-6 (7/5) ke atas pilihan kelima dari Perancis, Kristina Mladenovic untuk mara ke peringkat empat terbaik itu dalam kejohanan kedua disertainya sejak membuat kemunculan semula.

Bulan lalu, Kvitova ditunjuk jalan keluar dari Paris selepas tewas di pusingan kedua Terbuka Perancis manakala Mladenovic muncul selaku bintang tuan rumah Roland Garros apabila merampas gelaran juara bertahan daripada Garbine Muguruza.

Awal pagi tadi adalah giliran Kvitova menerima tepukan gemuruh tatkala mendedahkan permainannya kini semakin baik meskipun tangannya dilihat cedera.

"Saya sangat hampir tetapi saya bermain lebih baik daripada sebelum ini. Ia hanya satu atau dua mata dan satu atau dua pemecahan," kata Kvitova.


KVITOVA ke separuh akhir di Birmingham. - Foto Reuters

Kvitova dijadual bertemu rakan senegaranya, Lucie Safarova yang mencatat kemenangan 6-7 (4-7), 6-3, 7-6 (7/5) ke atas Daria Gavrilova dalam tempoh tiga jam.

Sementara itu, Muguruza tidak perlu bermandi peluh untuk melangkah ke separuh akhir apabila lawannya dari Amerika Syarikat, Coco Vandeweghe menarik diri kerana kecederaan buku lali selepas terjatuh di awal perlawanan.

Pemain Sepanyol itu tewas di set pertama 4-6 namun menyamakan kedudukan di set kedua dengan keputusan 6-4. - AFP

Berita Harian X