Sabtu, 24 Jun 2017 | 7:59am

Jom kurangkan kemalangan musim perayaan


MARILAH kita bersama-sama menjadikan perayaan Aidilfitri tahun ini sebagai titik perubahan dalam membantu usaha mengurangkan kemalangan dan kematian musim perayaan. - Foto hiasan

UMAT Islam di negara ini dijangka meraikan Aidilfitri esok. Seperti kelaziman, ribuan kenderaan mula meninggalkan ibu negara sejak kelmarin apabila warga kota berpusu-pusu untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing.

Peningkatan mendadak bilangan kenderaan sekali gus menyumbang kepada kesesakan di lebuh raya dan Jalan Persekutuan di seluruh negara. Keadaan ini juga secara tidak langsung meningkatkan risiko berlaku kemalangan.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi tempoh perayaan Aidilfitri 2016, sebanyak 20,982 kemalangan yang membabitkan 299 kematian telah direkodkan.

Umumnya, kemalangan jalan raya di negara ini berpunca daripada tiga faktor iaitu sikap pemandu kenderaan dan penunggang motosikal, keadaan kenderaan serta jalan.

Namun, faktor paling utama ialah sikap pemandu dan penunggang. Ini termasuk memandu laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, bertukar lorong sewenang-wenangnya, mencilok, langgar lampu isyarat, selain kurang rehat, mengantuk dan keletihan.

Sikap untuk cepat sampai ke destinasi yang dituju adalah antara penyumbang kepada kesalahan di atas, terutama memandu laju dan sanggup memperjudikan keselamatan dengan meneruskan pemanduan, meskipun fizikal sudah keletihan serta mengantuk.

Seperti kata pepatah, 'takkan lari gunung dikejar', justeru walaupun tidak memandu laju, kita juga akan tetap sampai ke destinasi dituju. Begitu juga, jika keletihan atau mengantuk, lebih baik berehat seketika daripada terus memandu dalam keadaan fizikal tidak stabil.

Ternyata pelbagai slogan seperti pemandu cermat jiwa selamat; ikut hati mati, ikut nafsu binasa; jangan biarkan keluarga menunggu dalam tangisan; ingatlah orang tersayang; dan jangan jadikan diri anda sebagai statistik kemalangan, seolah-olah masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Pelbagai kempen dijalankan pihak berkuasa tidak banyak membantu mengurangkan statistik kemalangan dan kematian pada musim perayaan, selagi pemandu tidak mengubah sikap negatif ketika berada di jalan raya, termasuk tidak bertimbang rasa, berhemat dan bersabar sepanjang pemanduan.

Justeru, marilah kita bersama-sama menjadikan perayaan Aidilfitri tahun ini sebagai titik perubahan dalam membantu usaha mengurangkan kemalangan dan kematian musim perayaan.

Selamat hari raya, maaf zahir batin.

13 dibaca
Berita Harian X