Jumaat, 23 Jun 2017 | 3:59pm

Zambry hargai peranan kakitangan HAT Lumut


ZAMBRY (tengah) menandatangani buku pelawat ketika melawat dan menyampai sumbangan raya di 96 Hospital Angkatan Tentera Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

LUMUT: Peranan pakar dan pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Angkatan Tentera (HAT) memberi perkhidmatan terbaik kepada anggota tentera tetapi orang awam, sangat dihargai.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, biarpun HAT adalah pusat perubatan yang menjaga kebajikan anggota tentera, namun atas dasar prihatin orang awam turut berpeluang menerima rawatan di hospital berkenaan.

"Bayangkan golongan yang tidak mampu, bayangkan dalam keadaan begitu... namun HAT sedia membantu dan saya sendiri pernah meminta bantuan untuk orang awam mendapatkan rawatan di sini dan ia begitu mudah," katanya.

Beliau berucap selepas melawat dan menyampai sumbangan raya kepada pesakit di wad pembedahan lelaki dan wad haemodialisis di 96 HAT Lumut di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kehadiran Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ke Pejabat Menteri Besar, Rabu lalu, Zambry menjelaskan pertemuan itu berdasarkan hubungan Menteri Besar bersama wakil rakyat dan ahli parlimen.

Katanya, dalam pertemuan itu beliau dan Ahmad Husni hanya berbincang mengenai isu berkaitan hal-ehwal rakyat.

"Ia hanya pertemuan biasa, saya berjumpa dengan wakil rakyat dan ahli parlimen bagi membincangkan hal-ehwal masyarakat dan perkara yang memerlukan perhatian saya," katanya.

Dalam pertemuan kira-kira 15 minit itu, Ahmad Husni bersama dua individu dilihat keluar dari bilik Setiausaha Sulit Menteri Besar selepas dipercayai bertemu Zambry.

Berita Harian X