Jumaat, 23 Jun 2017 | 3:48pm

Kepenatan punca MU belasah skuad B-22


JURULATIH skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Hasriyasyah Sabudin

MELAKA: Faktor kepenatan dikenal pasti antara punca skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Malaysia tewas 1-5 kepada Melaka United (MU) pada aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam tadi.

Pengendali B-22, Datuk Ong Kim Swee mengakui jadual padat sejak tiga hari lalu selepas pulang dari China, menyebabkan anak buahnya kepenatan ketika berdepan MU.

Ketika babak pertama perlawanan itu, skuad B-22 tampak mampu memberi saingan dan menguasai permainan dengan mendahului kelab Liga Super itu seawal minit kedua menerusi Safawi Rashid.

Bagaimanapun, R Surendran bijak menyamakan kedudukan pada minit ke-34.

"Dua gol awal MU pada babak kedua meletakkan pemain dalam situasi hilang fokus sehingga lawan mengambil kesempatan.

"Walaupun mereka berusaha memberi tekanan pada penghujung babak kedua, kita nampak jelas pemain keletihan berikutan jadual cukup ketat sebelum perlawanan ini," katanya.

Selain jaringan Surendran, bekas penyerang Negeri Sembilan Marco Simic meledak empat gol untuk meletakkan MU di landasan baik di bawah kendalian jurulatih baharu, Aduardo Almeida.

Sebelum berdepan MU, skuad B-22 negara turut mengharungi perlawanan persahabatan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin.

Berita Harian X