Jumaat, 23 Jun 2017 | 3:09pm

Maybank perkenal terminal Alipay


Michael Foong

KUALA LUMPUR: Maybank melancarkan terminal kad Alipay di Malaysia, bagi memudahkan pembayaran tanpa sentuh kepada kira-kira tiga juta pelancong dari China yang dijangka melawat Malaysia tahun ini.

Perkhidmatan baharu itu susulan perkongsian strategik antara Kumpulan Maybank dan Ant Financial Services (Ant Financial) dari China baru-baru ini untuk menyediakan pengguna Alipay yang berkunjung ke Malaysia.

Ia menyediakan kemudahan pembayaran tanpa sentuh di pelbagai pusat perniagaan seperti kedai serbaneka mewah dan kedai bebas cukai hinggalah ke hotel popular di kalangan pengunjung.

Ketua Pegawai Strategik Kumpulan Maybank, Michael Foong, berkata terminal Alipay baharu itu menyediakan perkhidmatan pembayaran pantas, lancar dan selamat untuk pengunjung dari China.

Katanya, kemudahan pembayaran itu juga membantu meningkatkan pengalaman perjalanan pelancong di Malaysia dan pada masa sama melonjakkan perbelanjaan.

"Terminal Alipay membenarkan pembayaran tanpa sentuh melalui kod QR yang mana peniaga hanya perlu mengimbas kod QR Alipay pelancong untuk transaksi pembelian.

"Pelancong dari China membentuk sebahagian besar pelawat asing yang semakin meningkat di Malaysia, dan dianggarkan membelanjakan kira-kira RM9 bilion di negara kita tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Michael berkata, keupayaan baharu dalam terminal kad di Malaysia penting kerana Alipay adalah platform pembayaran pihak ketiga terkemuka di dunia dengan 450 juta pengguna, merangkumi lebih 80 peratus daripadanya adalah pengguna mudah alih.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, Datuk Lim Hong Tat berkata, pihaknya memahami bahawa 80 peratus pelancong dari China membawa dompet digital Alipay pada peranti mudah alih mereka.

"Memandangkan mereka selesa dengan pembayaran tanpa sentuh, terminal baharu kami bukan saja membantu pembelian mereka dengan cara mudah, malah turut meningkatkan jualan dalam kalangan peniaga kami," katanya.

Beliau berkata, lebih ramai peniaga sedang diproses untuk didaftar masuk ke dalam program itu bagi memperluaskan jangkauan pengguna Alipay apabila mereka melawat Malaysia.

"Sasaran kami adalah untuk mengembangkan terminal Alipay kepada semua peniaga yang menerima bilangan pelancong China yang tinggi menjelang akhir tahun ini," katanya.

Info:

Terminal Alipay

* Boleh didapati di kedai runcit utama seperti Royal Selangor, Poh Kong Jewellers, Harrison Signature, Made In Malaysia, Mystical Borneo, King of Fruits, Hotel Sunway Resort, Hotel Sunway Clio, Hotel Sunway Pyramid, DFZ Duty Free, Eraman serta peniaga di Kota Kinabalu seperti Restoran Imperial Seafood, Hotel Ming Garden & Residence dan Restoran Fish Market.

Berita Harian X