Jumaat, 23 Jun 2017 | 12:43pm

Bayaran premium insurans perlu pin


Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa 1 Julai ini, semua pembayaran bagi premium insurans menerusi kad kredit dan debit akan memerlukan pengesahan enam digit nombor PIN dan bukan lagi tanda tangan.

Menurut Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), langkah itu selaras dengan dasar kerajaan untuk menggantikan kad yang menggunakan tanda tangan kepada sistem 'PIN and PAY'.

"Kami mahu mengingatkan pemegang polisi untuk menggunakan 'PIN and PAY' supaya pembayaran premium insurans boleh dilakukan dengan lancar.

"Pemegang polisi juga boleh merujuk syarikat insurans masing-masing untuk menukar cara pembayaran kepada debit langsung yang mana premium akan ditolak secara automatik daripada akaun mereka pada tarikh tertentu.

"Selain itu, industri insurans juga aktif mempromosikan pembayaran elektronik dalam kalangan pelanggannya bagi menggalakkan mereka menggunakan cara berkenaan sebagai alternatif kepada pembayaran konvensional," katanya dalam satu kenyataan.

LIAM juga mengingatkan pelanggannya yang sedang menggunakan kad debit untuk membuat pembayaran premium supaya mengemas kini nombor kad debit baharu dengan syarikat insurans apabila mereka membuat pertukaran kad.

"Kami meminta semua pelanggan untuk bertukar kepada pembayaran elektronik kerana transaksi mereka selamat, berkesan dan boleh dipercayai.

"Pelanggan tidak perlu risau mengenai premium mereka kerana ia akan dibayar tepat pada masa," tambahnya lagi.

Berita Harian X