Jumaat, 23 Jun 2017 | 11:36am

Ribut jejaskan kediaman 16 keluarga


KEADAAN rumah keluarga yang rosak dilanda ribut membabitkan dua kawasan perumahan di Sungai Kob, Karangan, dekat Kulim, petang semalam. - Foto ihsan APM Kulim

KULIM: Sekurang-kurangnya 16 buah keluarga terpaksa bermalam di rumah sanak-saudara apabila kediaman mereka rosak dilanda ribut di dua kawasan perumahan di Sungai Kob, Karangan, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.50 petang itu membabitkan enam buah rumah di Taman Mutiara dan Kampung Tambahan di Sungai Kob.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim, Mohd Fadhil Fahmi Zaini, berkata dalam kejadian itu, beberapa rumah hampir rosak keseluruhan apabila bumbung diterbangkan angin, selain ada juga kediaman dihempap pokok.

"Sehingga jam 11.30 malam tadi, kami menerima laporan bahawa 16 keluarga daripada enam buah rumah terbabit dalam kejadian ribut ini dan usaha membantu mereka sudah dijalankan.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan semua mangsa menumpang di rumah ahli saudara mereka," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Beliau berkata, APM bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kulim melakukan tindakan susulan dengan membersihkan pokok yang tumbang dan merosakkan rumah penduduk.

Katanya, pihaknya juga dimaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menghantar bantuan awal membabitkan barangan keperluan asas kepada mangsa ribut berkenaan.

Berita Harian X