Jumaat, 23 Jun 2017 | 1:06am
Anggota Trafik melakukan dokumentasi ketika Op Terminal anjuran PDRM dengan SPAD di Melaka Sentral. - Foto Khairunisah Lokman
Anggota PDRM memeriksa bas ekspres ketika Op Terminal anjuran PDRM dengan SPAD di Melaka Sentral. - Foto Khairunisah Lokman
Anggota PDRM memantau keadaan di dalam bas ekspres ketika Op Terminal anjuran PDRM dengan SPAD di Melaka Sentral. - Foto Khairunisah Lokman

Op Selamat 11: 1,129 saman di Zon Selatan

MELAKA: Sejumlah 1,129 saman dikeluarkan di Zon Selatan yang merangkumi Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sejak Op Selamat 11 dilancarkan, Ahad lalu.

Jumlah itu meningkat berbanding 359 saman yang dikeluarkan dalam tempoh sama, tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah (Urusetia dan Kawalan Lalu Lintas) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, merangkap Komander Zon Selatan Op Selamat 11, Supritendan Gan Chip Pho, berkata jumlah saman yang dikeluarkan bagi Op Selamat 11 itu membabitkan enam jenis kesalahan teras utama.

"Kesalahan termasuk menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tidak mematuhi lampu isyarat.

"Kita memandang serius peningkatan jumlah saman yang dikeluarkan. Pengguna jalan raya diseru untuk lebih peka terutama ketika memandu di musim perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Op Terminal Zon Selatan di Melaka Sentral, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) negeri, Anuar Abdullah.

Dalam Op Terminal yang berlangsung selama tiga jam sehingga jam 11.30 malam tadi, polis memeriksa kira-kira 15 pemandu bas ekspres di stesen bas berkenaan.

"Tiada pemandu bas mahupun penumpang yang dalam keadaan mencurigakan dikesan sepanjang operasi ini," katanya.

Berita Harian X