Jumaat, 23 Jun 2017 | 12:48am

416 penunggang motosikal tiada lesen


Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron (dua,kiri) memeriksa lesen seorang penunggang motorsikal ketika mengadakan Operasi motosikal sempena perayaan Aidilfitri 2017 di Jalan Bangsar malam ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 416 penunggang motosikal dikesan tidak mempunyai lesen memandu dalam Operasi Khas Motosikal, yang dijalankan di seluruh negara, sebentar tadi.

Kesalahan itu dikesan dalam pemeriksaam ke atas 1,954 penunggang motosikal dan 563 daripadanya terbabit dalam pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ).

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Nadzri Siron, berkata operasi sempena Aidilfitri itu bertujuan memastikan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal mematuhi undang-undang.

"Jangan mereka (penunggang motosikal) beranggapan tiada langkah penguatkuasaan pada musim perayaan dan mengabaikan keselamatan.

"Sebagai contoh, dalam operasi ini, lebih 400 dikesan tiada lesen memandu," katanya pada sidang media, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, selain operasi itu, JPJ masih menumpukan tujuh kesalahan utama yang sering dilakukan menjelang musim perayaan, termasuk kesalahan menggunakan lorong kecemasan.

"Sejak operasi ini dimulakan pada 18 Jun lalu, sebanyak 91 kesalahan menggunakan lorong kecemasan dikesan di seluruh negara.

"Selain itu, 22 pemandu lagi dikesan melakukan kesalahan sama berdasarkan laporan aduan bergambar oleh pengguna jalan raya lain menerusi aplikasi Whatsapp JPJ," katanya.

INFO:

Tujuh kesalahan utama

1. Gagal mematuhi lampu isyarat merah;

2. Memotong garisan berkembar;

3. Menggunakan telefon bimbit semasa memandu;

4. Memandu melebihi had laju;

5. Tidak memakai tali pinggang keledar;

6. Menggunakan laluan kecemasan;

7. Memandu di lorong kanan secara berterusan bagi kenderaan perdagangan.

18 dibaca
Berita Harian X