Khamis, 22 Jun 2017 | 5:52pm

AirAsia tempah 14 lagi A320ceo


TAN Sri Tony Fernandes.- Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: AirAsia menandatangani perjanjian dengan Airbus bagi menempah 14 pesawat A320ceo dalam usaha memenuhi jangkaan pertumbuhan jangka pendek di rangkaian rantau Asia Tenggara.

Kontrak berkenaan yang tertakluk kepada kelulusan lembaga AirAsia diumumkan pada Pameran Udara Paris di Le Bourget, semalam.

Tambahan pesawat itu menyaksikan jumlah pesawat bagi model A320 yang ditempah AirAsia meningkat kepada 592, sekali gus menjadikannya sebagai pelanggan syarikat penerbangan terbesar untuk segmen produk tunggal Airbus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata permintaan amat tinggi di negara tradisional AirAsia, namun di Indonesia, Filipina dan India ketika ini adalah sangat baik untuk melaksanakan perniagaan.

"Permintaan tinggi mendorong kita mengembangkan pesawat kami, dan Airbus menjadi rakan kongsi hebat dalam usaha kami mencari lokasi strategik.

"Kami masih perlu mencari lebih banyak pesawat untuk memperluaskan jangkauan serantau kami dan secara aktif memperoleh dari pasaran pajakan.

"Persekitaran kompetitif adalah yang terbaik, ditambah pula dengan harga minyak yang stabil. Dengan kos rendah, AirAsia kembali mencatatkan pertumbuhan progresif," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehingga kini, sebanyak 171 A320ceo dan lapan A320neo dihantar kepada AirAsia dan terbang di Malaysia, India, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi-Pelanggan, Pesawat Komersial Airbus, John Leahy berkata, pihaknya bangga mengumumkan tempahan terbaharu dari AirAsia.

"Kami bangga keluarga A320 memainkan peranan penting dalam kejayaan AirAsia, dengan memberikan kecekapan dan kebolehpercayaan yang diperlukan untuk syarikat penerbangan itu mengekalkan kosnya serendah mungkin," katanya.

Berita Harian X