Khamis, 22 Jun 2017 | 5:30pm

TH peruntuk RM2.1j untuk asnaf di Kedah

BANDAR BAHARU: Sebanyak RM2.1 juta diperuntukkan Yayasan Tabung Haji (TH) untuk membantu 10,500 pendaftar yang terdiri daripada golongan asnaf di Kedah pada program Ziarah Kasih Ramadan Al Mubarak 2017 sepanjang bulan Ramadan.

Pengarah Lembaga Tabung Haji Kedah, Nawawi Ishak, berkata sebanyak tujuh kawasan dipilih untuk membolehkan seramai 1,500 pendaftar mendapat manfaat dari sumbangan terbabit.

Katanya, tujuh kawasan itu adalah Kuala Kedah, Alor Setar, Sungai Petani, Pokok Sena, Kulim-Bandar Baharu dan Langkawi.

"Program ziarah pertama dilakukan Tabung Haji dengan kerjasama UMNO untuk memberi sumbangan bantuan hari raya kepada pendaftar yang kurang berkemampuan.

"Setiap seorang akan menerima sumbangan sebanyak RM200. Kita berharap sumbangan terbabit dapat membantu penerima membeli keperluan hari raya," katanya pada sidang media di Dewan Sri Serdang, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Sementara itu Abdul Aziz berkata, pemberian bantuan ini menunjukkan TH terus berdaya maju dan boleh dipercayai.

"Saya juga melaksanakan program Lambaian Kaabah dengan mengajak lebih ramai pelajar membuka akaun TH sejak di bangku sekolah sebagai langkah awal simpanan mereka.

"Program terbabit membabitkan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima dan ia dilaksanakan sejak sembilan tahun lalu," katanya.

Berita Harian X