Khamis, 22 Jun 2017 | 4:48pm

Tiada kerja bina jalan, selenggara elak kesesakan


MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto Yazit Razali

SEREMBAN: Semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan di jalan persekutuan, negeri serta lebuh raya dihentikan sehingga 2 Julai depan bagi memastikan kelancaran trafik pada musim perayaan ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata arahan yang berkuatkuasa sejak Ahad lalu, dibuat berikutan peningkatan jumlah pengguna jalan raya yang balik ke kampung sempena sambutan Aidilfitri.

"Pengecualian hanya diberikan terhadap kerja kecemasan dan kritikal sahaja sebagai komitmen kita untuk mengelakkan kesesakan jalan raya.

"Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menubuhkan pasukan peronda bagi memantau kemalangan dan kerosakan jalan selain memastikan kerja kecemasan dilakukan segera tanpa gangguan lalu lintas di jalan persekutuan," katanya ketika merasmikan program 'Coffee Break' sempena Aidilfitri di Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pihaknya juga mewartakan penurunan had laju sebanyak 10km/j bagi jalan persekutuan dan jalan negeri mulai Ahad lalu hingga 2 Julai depan dalam usaha mengurangkan kemalangan pada musim perayaan ini.

"Had laju bagi jalan persekutuan diturunkan kepada 80 kilometer sejam (km/j) manakala jalan negeri (70km/j)," katanya.

Berita Harian X