Khamis, 22 Jun 2017 | 11:47am
KHALED bersama 9 penerima kunci bengkel usahawan Muafakat Johor di Taman Desa Rakyat Perdana, Pasir Gudang. - Foto Instagram Khaled Nordin

Pusat Niaga ERA tingkat taraf ekonomi rakyat


MOHAMED Khaled melawat Kedai imCoop pada majlis Perasmian Kedai Harga Patut Muafakat Johor, di Taman Desa Rakyat Perdana, Pasir Gudang. - Foto Mohd Azren Jamaludin

PASIR GUDANG: Kerajaan Johor terus komited meningkatkan taraf ekonomi negeri dan rakyat menerusi penubuhan Pusat Niaga Ekonomi Rakyat (Pusat Niaga ERA) di Taman Desa Rakyat, di sini.

Ia adalah Pusat Niaga ERA pertama di Johor, sebelum diperluaskan ke beberapa kawasan berpotensi mulai tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pusat yang mempunyai 36 unit perniagaan itu dikendalikan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJ) dengan kerjasama strategik Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Koperasi Melayu Pasir Gudang Berhad.

Katanya, pusat niaga itu diwujudkan bagi menjadikan kawasan itu sebagai Hab Ekonomi Rakyat, sekali gus bertepatan dengan pembangunan pesat yang sedang dialami di kawasan Pasir Gudang.

"Usaha PUJ ini harus dipuji kerana ia tidak hanya menghimpun usahawan, malah beberapa gerakan koperasi lain. Maka, sudah tentulah ini amat membantu usaha kerajaan negeri bagi memperkasakan daya keusahawanan dalam kalangan rakyat Johor.

"Selain peranannya mengukuhkan lagi sektor keusahawanan, ia juga menjadi kemudahan bagi penduduk sekitar mendapatkan barangan berkualiti pada harga mampu beli, termasuk menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis Serah Kunci Pusat Niaga ERA, Bengkel Usahawan Muafakat Johor dan Kedai Komuniti Harga Patut Muafakat Johor Cawangan Taman Desa Rakyat Perdana di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ismail Mohamed.

Mohamed Khaled berkata, insentif diberikan oleh pihak PUJ kepada peniaga, termasuk kadar sewa permulaan yang rendah dan pengecualian sewa bagi tempoh enam bulan pertama.

Katanya, ia dilakukan dengan meningkatkan kebolehsaingan rakyat dalam aspek keusahawanan, termasuk menyediakan pelbagai ruang dan peluang untuk rakyat meningkatkan kemahiran diri dan berusaha untuk menceburi bidang keusahawanan baharu.

"Sasaran kita jelas, untuk memastikan lebih banyak perniagaan dapat diwujudkan, sekali gus lebih banyak kehidupan menjadi lebih baik dan lebih ramai rakyat kita yang bekerja sendiri dan tidak mengharapkan pihak kerajaan," katanya.

Berita Harian X