Khamis, 22 Jun 2017 | 10:43am
ASMAIZA melekatkan pelekat peringatan keselamatan jalan raya dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) pada kenderaan dalam Operasi Khas JPJ sempena musim perayaan. Turut hadir Pengarah JKJR Perlis, Kalai Kumar (tengah). - Foto BERNAMA
ANGGOTA JPJ memeriksa penunggang motosikal pada Operasi Khas JPJ sempena musim perayaan. - Foto BERNAMA

JPJ sita motosikal guna cukai jalan palsu

KANGAR: Tindakan seorang lelaki cuba memalsukan cukai jalan membawa padah apabila motosikalnya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis dalam Operasi Hari Raya Aidilfitri 2017 di sini, awal pagi tadi.

Pemangku Pengarah JPJ Perlis, Mahazir Abdul Majid berkata, lelaki berusia 25 tahun berasal dari Kuala Perlis itu ditahan bersama seorang pembonceng wanita dipercayai isterinya dalam satu sekatan jalan raya di Pengkalan Asam, di sini.

"Hasil pemeriksaan terhadap motosikal jenis Honda Wave itu kami dapati terdapat keraguan pada cukai jalan kenderaan terbabit yang dipercayai diubahsuai... selepas melakukan semakan, kami dapati ia sudah tamat tempoh pada 7 Januari 2013.

"Tindakan membuat salinan semula cukai jalan berjaya dikesan memandangkan spesifikasi cukai terbabit begitu berbeza dari segi warna dan tulisan asal," katanya pada sidang media selepas operasi terbabit.

Mahazir berkata, lelaki itu bagaimanapun memberi alasan tidak tahu atas kesalahan yang dilakukan berikutan motosikal yang ditunggang adalah milik rakannya yang dipinjam untuk ke bandar bagi membeli barangan Aidilfitri.

"Motosikal terbabit disita bagi pemeriksaan lanjut dan kami masih lagi menyiasat pemilik sebenar motosikal terbabit.

"Selain kesalahan memalsukan cukai jalan, motosikal terbabit juga tidak memasang nombor pendaftaran kenderaan mengikut spesifikasi yang ditetapkan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memalsukan cukai jalan dan Seksyen 28 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh.

Sementara itu, dalam operasi empat jam bermula jam 8.30 malam itu yang mendapat kerjasama tiga agensi membabitkan 69 pegawai dan anggota itu, sebanyak 2,315 kenderaan diperiksa dan 92 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Turut hadir dalam operasi yang berakhir jam 12.30 pagi itu ialah EXCO Pengangkutan negeri, Asmaiza Ahmad.

42 dibaca
Berita Harian X