Khamis, 22 Jun 2017 | 6:40am

10 bas ekspres kena 22 saman JPJ


TIMBALAN Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Yusoff Ayob menampal pelekat 'Laporkan Aduan Kesalahan Lalulintas JPJ di cermin bas ekspres pada majlis Pelancaran Ops Hari Raya Aidilfitri di Terminal Amanjaya. - Foto BERNAMA

IPOH: Sebanyak 22 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan 10 bas ekspres sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri 2017 di Perak.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Yusoff Ayob berkata, ia hasil pemeriksaan ke atas 515 bas di empat terminal di negeri berkenaan sepanjang operasi itu.

Katanya, kesalahan teknikal seperti tayar, brek dan lampu isyarat tidak berfungsi dengan baik paling banyak direkodkan.

Beliau bagaimanapun berkata belum mendapatkan statistik keseluruhan jumlah bas yang diperiksa di seluruh negara sepanjang operasi berkenaan.

"JPJ dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan lain termasuk PDRM (Polis Diraja Malaysia), AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) dan SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) menjalankan pemeriksaan di empat terminal bas di negeri ini.

"Antara depoh bas (terminal bas) yang terbabit adalah di Taiping, Manjung dan Teluk Intan, selain Terminal Amanjaya," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri operasi berkenaan di Terminal Amanjaya di sini, malam tadi.

Yusoff berkata, sepanjang operasi berkenaan, seramai 85 pemandu bas diperiksa dan ujian air kencing yang dijalankan AADK mendapati semuanya negatif dadah.

Beliau berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya turut menampal notis bagi mengingatkan penumpang supaya memaklumkan aduan sekiranya terdapat salah laku pemandu bas yang melanggar undang-undang jalan raya.

"Kita nasihatkan kepada penumpang memberi peringatan kepada pemandu bas supaya mengikut peraturan demi keselesaan dan keselamatan penumpang," katanya.

Berita Harian X