Rabu, 21 Jun 2017 | 8:41pm

V Shem-Wee Kiong perlu bermula dari kosong


BEREGU lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong. - Foto Rosdan Wahid

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tidak boleh lagi terus hidup dengan dibayangi kejayaan mereka meraih pingat perak Olimpik Rio 2016, sebaliknya perlu bekerja keras untuk terus menghasilkan keputusan yang lebih cemerlang.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata selepas apa yang dialami beregu nombor empat dunia itu yang bergelut dengan prestasi tidak menentu ketika ini, mereka perlu bermula semula dari kosong.

"Saya sedar banyak yang perlu dilakukan dalam acara beregu lelaki terutama bagi mengembalikan semula keyakinan mereka. Apapun, V Shem-Wee Kiong perlu bermula semula dari kosong.

"Mereka tidak boleh terus dibayangi kejayaan meraih perak Olimpik Rio. Sebaliknya perlu bekerja keras dan pandang ke depan. Saya tahu beban yang mereka pikul tetapi inilah yang mereka perlu hadapi untuk menjadi beregu utama dunia," kata Norza.

Beliau mengulas mengenai kekalahan V Shem-Wee Kiong yang tersingkir di pusingan pertama Terbuka Australia hari ini selepas tewas kepada  pasangan Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko 21-16, 13-21, 13-21 dalam tempoh 49 minit.

Prestasi V Shem-Wee Kiong tahun ini merosot dengan mereka masih gagal meraih sebarang gelaran selain tidak melepasi suku akhir dalam semua kejohanan disertai.

Kegagalan terbaru ini seharusnya melahirkan kebimbangan buat barisan kejurulatihan kerana V Shem-Wee Kiong kesuntukan masa untuk kembali ke tahap prestasi terbaik dalam persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos ini.

Mengulas lanjut, Norza berharap ketua jurulatih beregu lelaki, Cheh Soon Kit mampu melahirkan lebih ramai beregu bertaraf dunia agar tidak bergantung kepada V Shem-Wee Kiong.

"Saya mahu orang seperti Soon Kit lahirkan ramai lagi beregu bertaraf dunia, jadi kita tidak perlu bergantung kepada satu pasangan saja. Apapun beri Soon Kit dan dua pembantunya Jeremy Gan dan Rosman Razak masa untuk melaksanakan tugas mereka."

Norza turut mengucapkan tahniah kepada beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing susulan kejayaan mereka menewaskan juara Olimpik Rio 2016, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir di pusingan pertama Terbuka Australia hari ini.

27 dibaca
Berita Harian X