Rabu, 21 Jun 2017 | 5:18pm

7 beranak dapat rumah baharu


AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim melawat rumah Rahmat Taib yang terbakar di Kampung Rambong, Pulai, baru-baru ini. - Foto Safuri Kamarudin

BALING: Tujuh beranak yang hilang tempat tinggal apabila rumah mereka hangus dalam kejadian di Kampung Rambong, Pulai, dua hari lalu, terharu apabila menerima sebuah rumah baharu.

Berita gembira terbabit disampaikan sendiri Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada guru agama, Rahmat Taib, 52, selepas meluluskan sebuah rumah baharu tiga bilik untuk keluarga malang berkenaan.

Abdul Azeez, berkata musibah yang berlaku ke atas guru agama itu perlu dibantu memandangkan keluarga terbabit tinggal sehelai sepinggang.

"Sebagai pemimpin, saya turun padang dan melihat sendiri kesedihan keluarga itu dengan anak yang masih kecil dan perlu dibantu segera demi masa depan.

"Saya meluluskan segera sebuah rumah baharu dan mengarahkan kontraktor yang dilantik membina segera rumah baharu di atas tapak sedia ada," katanya ketika melawat keluarga terbabit di Kampung Rambong, Pulai, di sini hari ini.

Abdul Azeez berkata, pihak Lembaga Zakat Kedah turut menyumbang RM3,000 manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM6,000.

"Sumbangan itu membolehkan keluarga terbabit membeli peralatan dalam rumah dan keperluan anak yang masih bersekolah," katanya.

Sementara itu, Rahmat berkata, dia terharu dan berterima kasih kerana keprihatinan pemimpin yang peka dengan masalah yang berlaku ke atas keluarganya.

"Saya bersyukur dan tidak risau lagi dengan tempat tinggal selepas mendapat rumah baharu yang dijangka siap dalam masa tiga minggu," katanya.

Berita Harian X