Rabu, 21 Jun 2017 | 7:58am

Kedah rai 120 pengamal media


SEBAHAGIAN ahli Kelab Media Elit Kedah (KMEK) yang diraikan dalam majlis moreh bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di sini, malam tadi. - Foto ihsan KMEK

ALOR SETAR: Lebih 120 ahli Kelab Media Elit Kedah (KMEK) diraikan dalam majlis moreh bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di sini, malam tadi.

Majlis itu diadakan untuk menghargai pengamal media yang memberi sokongan terhadap kerajaan negeri serta Barisan Nasional (BN) dengan laporan yang telus dan tepat.

Ahmad Bashah, berkata pihaknya mengakui peranan media sangat penting dalam melaporkan berita terutama berkaitan pemimpin bersama masyarakat.

"Media Kedah mempunyai hubungan akrab dengan kerajaan di bawah pimpinan BN, saya selaku menteri besar amat memahami tugas media kerana mereka juga mempunyai jadual yang sangat padat.

"Apabila pemimpin peringkat negeri mahupun persekutuan turun padang, pihak media akan membuat liputan, ini adalah bantuan pihak media kepada kami yang secara tidak langsung rakyat akan tahu apa yang dilakukan oleh pemimpin setiap hari," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Malah Ahmad Bashah turut mengucapkan terima kasih kepada wartawan yang sentiasa melaporkan perkara sebenar di sebalik berita palsu yang menjadi tular di media sosial sehingga boleh menjejaskan imej kerajaan.

"Banyak berita yang mahu memburukkan nama kerajaan negeri menjadi tular, namun media berjaya memainkan peranan dengan melaporkan berita sahih menerusi maklumat diperoleh sendiri daripada pihak saya mahupun pimpinan kerajaan negeri yang lain," katanya.

Dalam majlis itu, ahli KMEK yang hadir dihidangkan makanan moreh seperti mee tulang, ketupat, rendang dan kuih-muih.

Berita Harian X