Rabu, 21 Jun 2017 | 7:00am

Paddle shift bantu keselesaan pemanduan


ENJIN 1.5L SOHC i-VTEC tawar penjimatan bahan api.

MODEL kenderaan keluaran Honda memang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana semua maklum, jenama kereta berkenaan adalah antara yang menonjol dalam industri automotif global dan serantau.

Malah model Honda City baharu juga meneruskan kegemilangan jenama ini dengan menjadi peneraju sedan segmen-B di negara ini.

Bagi merasai sendiri, apakah faktor yang menjadikan City terus diminati pengguna, BH Auto menyertai satu sesi pandu uji model itu dari Kuala Lumpur ke Melaka dan Johor Bahru.

Kemunculan Honda City di negara ini sejak 2003, menjadi pencetus kepada kebangkitan hebat jenama Honda sehingga membolehkan ia muncul peneraju segmen kereta bukan nasional tempatan tahun lalu.

Ketika membawanya menyusuri jalan sekitar ibu kota menuju ke lebuh raya, terasa pemanduan sangat ringan dan sesuai dibawa di jalan yang sesak dan penuh dengan kenderaan.

Model ini memberikan tindak balas yang cekap dan pantas ketika membrek atau berhenti, malah enjinnya juga pantas memberikan momentum ketika memulakan pemanduan semula selepas berhenti.

Namun, ketika memasuki laluan lebuh raya, terasa seperti ada sedikit kekurangan tetapi pemanduan masih lagi sempurna dan pengawalannya juga mudah.

Kekurangan dimaksudkan ialah kereta itu terasa sedikit melayang, tetapi tidak menjejaskan prestasi keseluruhan City baharu.

Paling menarik adalah ketika melalui jalan persekutuan di antara Port Dickson dan Alor Gajah yang memerlukan fokus dan kecekapan pengawalan stereng kerana jalannya banyak berselekoh.

Ketika inilah penggunaan paddle shift manual diperlukan, dijana enjin 1.5L SOHC i-VTEC empat silinder berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksimum 145 Nm pada takat 4,600 rpm yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT.

Sudah semestinya, jika menguji kenderaan di jalan berselekoh sebegini, sudah tentu faktor keselamatan menjadi keutamaan.

Disebabkan itu semua varian City 2017 menerima penarafan lima bintang bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan empat-bintang untuk Perlindungan penumpang Kanak-kanak (COP) daripada ASEAN NCAP.

City baharu dilengkapi Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) sebagai ciri keselamatan standard bagi semua varian.

Enam beg udara pula dapat memberikan ketenangan ketika memandu.

Bukan itu saja, Sistem Kemasukan Pintar dengan Butang Penghidup Enjin, Lampu Pencahayaan Siang (DRL) LED, Cermin Sisi Boleh Lipat Automatik dan Rim Aloi Dua Ton juga menjadi ciri standard pada semua Varian.

Untuk Varian spesifikasi paling tinggi V, pelbagai ciri bernilai tambah seperti Lampu Depan LED dengan LED DRL, Lampu Kabus Hadapan LED, Lampu Belakang LED dan Spoiler Ducktail bersama Lampu Brek LED disertakan.

Varian ini juga didatangkan dengan tempat duduk kulit dan lapan unit pembesar suara untuk memberikan pengalaman seperti di dalam sebuah sedan premium, manakala kamera undur pelbagai sudut memberi lebih keselesaan kepada pemandunya.

Secara keseluruhan, pemilik City baharu dapat menikmati pelbagai ciri segmen-C di dalam kenderaan segmen-B mereka.

Semua ciri baharu itu adalah tambahan kepada aspek keselamatan, keluasan dan fungsi luar biasa yang terdapat pada City generasi keempat.


CITY baharu juga beri tindak balas cekap, pantas membrek atau berhenti.

City baharu didatangkan dengan banyak penambahbaikan dan ciri standard canggih yang ditawarkan pada ketiga-tiga varian iaitu S, E dan V. Varian S adalah naik taraf kepada varian S+ sebelum ini.

Ia juga turut diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), dan Honda mendakwa, ia menawarkan penjimatan bahan api luar biasa dengan anggaran 5.7 liter bagi setiap 100 kilometer.

Ruang dalaman City baharu dibangunkan di bawah prinsip reka bentuk Honda iaitu Max Maximum, Machine Minimum, yang memaksimumkan ruang untuk pemandu, penumpang dan kargo.

Ruang kargo 536 liter bukan saja lebih besar daripada model segmen-C, malah setanding dengan sedan segmen-D.

Dari segi praktikal, tempat duduk belakang City baharu boleh dilipat pada konfigurasi 60:40 untuk menawarkan kemudahan kepada pemilik dalam apa juga keadaan, seterusnya membuatkan City seperti sedan yang memiliki utiliti sebuah hatchback.

INFO

  • Enjin: 4 silinder, 16 injap, SOHC i-VTEC
  • Kapasiti: 1,497 cc
  • Sistem bekalan bahan api: Electronic Fuel Injection (PGM-FI)
  • Kuasa maksimum: 120 (88)@6,600
  • Tork maksimum: 145 (14.8)@4,600
  • Transmisi: CVT
  • Sistem suspensi: MacPherson Strut (Depan) dan Torsion Beam (Belakang)
  • Dimensi: (Panjang x Lebar x Tinggi): 4,442 x 1,694, 1,477
  • Kapasiti but: 536 liter
  • Kapasiti tangki: 40 liter
195 dibaca
Berita Harian X