Selasa, 20 Jun 2017 | 6:55pm

85 pemandu bas disaman dalam operasi khas


Pengarah Penguatkuasa JPJ, Datuk V Valluvan (dua dari kanan) memeriksa dokumen dalam Operasi Hari Raya Aidilfitri (Op Hari Raya Aidilfitri) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Seramai 85 pemandu bas disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan, termasuk dua daripadanya positif dadah dalam tempoh tiga hari Ops Khas Aidilfitri sejak dilancarkan, kelmarin.

Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Datuk V Valluvan, berkata pihaknya kecewa dengan jumlah itu kerana ia menunjukkan masih ramai pemandu mengambil mudah isu keselamatan diri dan penumpang walaupun sudah banyak operasi sama dilakukan sebelum ini.

"Sejak dilancarkan Ahad lalu, kita sudah memeriksa 2,200 bas di seluruh negara dan mengambil tindakan saman ke atas 85 pemandu atas pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah merokok ketika memandu, menggunakan telefon bimbit dan memandu di lorong paling kanan.

"Dua pemandu turut ditahan ketika pemeriksaan di Shah Alam, Selangor dan Nibong Tebal, Pulau Pinang selepas ujian air kencing mendapati mereka positif morfin," katanya kepada media selepas melakukan pemantauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Valluvan berkata larangan kenderaan berat di lebuh raya dan jalan persekutuan juga akan dikuatkuasakan selama empat hari bermula 23 dan 24 Jun ini serta 1 dan 2 Julai depan.

"Larangan ini dibuat bagi mengelakkan risiko kemalangan jalan raya dan memastikan kelancaran lalu lintas bagi orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali ke ibu kota dalam tarikh berkenaan.

"Justeru, saya memohon kepada pengusaha kenderaan untuk mematuhi larangan itu dan jika kita dapati ada kenderaan berat yang berada di jalan dalam tempoh itu, tindakan sita akan dikenakan, katanya.

Katanya, sekiranya orang ramai melihat ada kenderaan berat yang melakukan kesalahan, mereka boleh membuat aduan kepada JPJ menerusi aplikasi WhatsApp di talian 011-51115252.

"Aduan itu perlu disertakan dengan gambar kenderaan, lokasi,masa dan nombor pendaftaran kenderaan berkenaan,"katanya.

Berita Harian X