Selasa, 20 Jun 2017 | 5:38pm

KPDNKK cari kaedah baharu bantu pengusaha minyak elak rugi


MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - Foto Rosela Ismail

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) masih jalankan kajian bagi mencari kaedah membantu pengusaha stesen minyak elak kerugian di bawah sistem penetapan harga sedia ada.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata sistem penetapan harga minyak masih dikekalkan, namun kaedah baharu itu bertujuan membantu pengusaha stesen minyak mengelakkan kerugian besar apabila harga minyak turun.

Katanya mengikut kaedah yang digunakan sekarang, pengusaha stesen minyak akan mengalami kerugian sekiranya harga bahan api itu terus turun dan dikhuatiri ramai yang akan menutup perniagaan.

"KPDNKK sudah mengadakan perbincangan mengenai kaedah yang mahu dilaksanakan ini bersama pengusaha stesen minyak dan apa sahaja keputusan nanti diharap dapat memberi kebaikan kepada semua pihak," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KPDNKK, di sini hari ini.

Pada majlis yang sama, Hamzah turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada kakitangan sokongan KPDNKK dan ibu tunggal yang berkhidmat di kementerian itu.

Tambah beliau, KPDNKK turut mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi mencari kaedah terbaharu berhubung masalah itu dan akan mengumumkan sebarang rumusan bagi menstabilkan industri peruncitan minyak negara.

Katanya pihaknya mencari jalan keluar "menang-menang" yang memanfaatkan semua termasuk syarikat minyak, pengedar, pengusaha stesen minyak dan rakyat.

Pada masa sama, beliau turut berharap rakyat juga memahami tekanan yang dihadapi pengusaha stesen minyak di seluruh negara apabila harga minyak berterusan turun.

Berita Harian X