Selasa, 20 Jun 2017 | 3:57pm

Pelantikan Morais bimbing JDT tepat: Edwards


PENGARAH Sukan JDT, Alistair Edwards. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Langkah Johor Darul Ta'zim (JDT) mengikat pengendali dari Portugal, Ulisses Morais adalah tepat selaras dengan sasaran kelab itu untuk terus kekal di tangga teratas Liga Super sekali gus menjuarainya buat kali keempat.

Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards, berkata Morais akan membimbing skuad Harimau Selatan dengan kontrak selama 17 bulan berkuat kuasa serta-merta dan diberi pilihan untuk menyambung kontrak selama setahun pada musim 2019.

Katanya, sasaran utama JDT adalah kekal beraksi di pentas Piala AFC selain paling diinginkan beraksi pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) disamping memenangi kejuaraan liga tempatan.

"Morais memulakan latihan hari ini. Sebelum itu beliau diperkenalkan kepada pemain oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Pemain tampak menyambut baik kehadiran Morais dan saya percaya JDT akan lebih mantap di bawah kendaliannya. Dan paling utama kerjasama berpasukan pasti beri impak positif dalam skuad itu," kata Edwards.

Pelantikan Morais dilihat dalam usaha skuad Harimau Selatan mengekalkan kejuaraan liga untuk musim keempat selain cuba mengintai Piala Malaysia pada musim ini.

Pengendali berusia 57 tahun itu mempunyai reputasi yang baik di Eropah dan mempunyai pengalaman melatih beberapa kelab divisyen utama dan kedua Portugal seperti Famalicao, Aves, SC Beira-Mar serta Academica De Coimbra.

80 dibaca
Berita Harian X