Ahad, 18 Jun 2017 | 3:22pm

664 saman trafik, 6 hari Ops Samseng Jalanan


KETUA Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen serah tugas antara Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa (kiri) dan Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris yang dilantik Ketua Polis Daerah Setiu yang baru di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, hari ini. - Foto Fatihah Sulaini

PERMAISURI: Sebanyak 664 saman trafik dikeluarkan sepanjang enam hari Ops Operasi Samseng Jalanan, hingga semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail, berkata operasi yang dilakukan sebanyak 29 kali itu membabitkan semua daerah di Terengganu.

"Sebanyak 12 motosikal yang diubahsuai turut disita.

"Operasi dibuat pada hujung minggu, iaitu Jumaat dan Sabtu," katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Setiu yang baharu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Idris Abdullah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid.

Aidi mengingatkan ibu bapa supaya memantau aktiviti anak mereka terutamanya pada malam bulan Ramadan kerana aktiviti merempit boleh mengganggu umat Islam yang menunaikan solat sunat Tarawih di masjid.

"Jika boleh, bawa bersama anak remaja menunaikan solat Tarawih dan jangan biarkan mereka keluar bersendirian ke masjid dengan menunggang motosikal.

"Masyarakat juga diminta membantu polis dengan menyalurkan maklumat lokasi rempit untuk memudahkan kita membuat tindakan dalam usaha mengurangkan kadar rempit jalanan," katanya.

Pada majlis itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa menyerahkan tugas kepada Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris yang dilantik Ketua Polis Daerah Setiu yang baru, berkuatkuasa hari ini.

Zulkifli sebelum ini menjawat jawatan Penolong Pengarah Keselamatan Negeri (Polis) Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu selama satu tahun setengah dan berkhidmat hampir 26 tahun.

Katanya, walaupun kali pertama dilantik sebagai ketua polis, dia akan berusaha untuk mengekalkan ketenteraman awam dan meminta masyarakat setempat memberi kerjasama sebaiknya kepada polis.

Berita Harian X