Ahad, 18 Jun 2017 | 2:01pm

Pendidikan awal kanak-kanak ditambah baik: Mahdzir


MAHDZIR (tengah) menyerahkan biasiswa kepada pelajar yang juga anak pekebun kecil RISDA di SMK Kuala Nerang. - Foto Noorazura Abdul Rahman

KUALA NERANG: Sistem pendidikan awal kanak-kanak akan ditambak baik menerusi kajian terperinci oleh Jawatankuasa Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya, jawatankuasa itu akan dibarisi pakar pendidikan daripada beberapa kementerian dengan diterajui Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata, antara pihak lain yang dijangka terbabit termasuk Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN); Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Permata Negara (PERMATA).

"Kita ada banyak Taska serta Tadika melalui kementerian dan agensi terbabit, jadi kita perlu penambahbaikan sistem pelajaran (kurikulum) dan kurikulum di bawah satu landasan bagi menentukan masa depan anak-anak ini yakni kanak-kanak yang berusia sehari hingga enam tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Skim Biasiswa Anak Pekebun Kecil RISDA Daerah Padang Terap 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang di sini, hari ini.

Mahdzir berkata jawatankuasa itu turut akan merujuk kepada sistem pendidikan awal kanak-kanak di luar negara yang boleh dijadikan contoh untuk dilaksanakan di Malaysia.

"Selaras penambahbaikan itu, pihak kementerian akan memastikan setiap guru pendidikan awal kanak-kanak memiliki sekurang-kurangnya diploma pendidikan dalam bidang itu.

"Taska dan Tadika sekarang yang ada semuanya baik, tetapi kita perlu penambaikan contohnya berapa minit kanak-kanak ini akan belajar, bermain dan aktiviti lain yang mungkin perlu diselaraskan.

"Begitu juga dengan Taska dan Tadika swasta yang dipantau oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, " katanya.

87 dibaca
Berita Harian X