Ahad, 18 Jun 2017 | 1:21pm
HARGA rujukan minyak sawit yang telah dihitung akan berada pada RM2,890.04 (US$676.35) satu tan. - Foto hiasan

Niaga hadapan MSM dijangka dalam jajaran kecil

KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan dalam jajaran kecil dengan harga antara RM2,400 dan RM2,500 satu tan, kata Peniaga Minyak Sawit Kanan Interband Group of Companies, Jim Teh.

Beliau berkata, permintaan sedikit menurun memandangkan pembeli dari Asia Barat, Pakistan dan India telah memenuhi bekalan minyak makan mereka untuk Ramadan.

Teh turut menjangkakan dagangan MSM tempatan agak lengang, terutama selepas Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menaikkan cukai minyak sawit keseluruhan pada Julai.

Badan itu kelmarin mengumumkan cukai eksport MSM akan dinaikkan daripada enam peratus pada Jun kepada 6.5 peratus berkuat kuasa 1 Julai.

Harga rujukan minyak sawit yang telah dihitung akan berada pada RM2,890.04 (US$676.35) satu tan.

Sementara itu, peniaga lain, dengan merujuk penyelidik kargo Intertek Testing Services, berkata eksport produk minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 15 Jun, 2017 susut 17.6 peratus kepada 508,960 tan daripada 617,697 tan semasa 1 hingga 15 Mei, 2017.

"MPOB akan mengeluarkan data pengeluaran, eksport dan stok Mei minggu depan. Jika​​​​​​ angka eksport memberangsangkan, ia sekali gus dijangka meningkatkan harga MSM," katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, niaga hadapan MSM didagangkan kebanyakannya tinggi sepanjang minggu, dalam keadaan ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat serta menjejaki prestasi komoditi serantau.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, bulan semerta baharu Julai 2017 meningkat RM103 kepada RM2,656 satu tan, sementara Ogos 2017 menokok RM79 kepada RM2,536 satu tan, September 2017 naik RM84 kepada RM2,484 satu tan, Oktober 2017 bertambah RM51 kepada RM2,465 satu tan. - BERNAMA NHIZ

Berita Harian X