Sabtu, 17 Jun 2017 | 4:50pm

Larian Obor KL2017 kini di Kedah


TIMBALAN Menteri Kewangan 1 merangkap Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz (kanan) menerima obor Kuala Lumpur 2017 daripada Exco Sukan Negeri Perlis, Jamil Saad (tiga dari kiri) sebaik tiba di Kompleks Sukan Jerlun, Kampung Sanglang.- Foto Amran Hamid

JERLUN: Larian Obor Kuala Lumpur 2017 sempena Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 yang juga dikenali sebagai KL2017, meneruskan siri jelajahnya hari ini di Kedah.

Kedah menjadi negeri kelapan siri larian itu di negara ini, selepas Perlis yang bermula Khamis lalu.

Majlis larian obor itu bermula dengan acara penyerahan obor antara wakil Perlis kepada wakil Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pelancongan Perlis, Abdul Jamil Saad menyerahkan obor berkenaan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz di Kompleks Sukan Jerlun, di sini, petang ini.

Turut menyertai upacara penuh simbolik itu ialah tiga jentera pembajak dan lebih 30 buah motosikal berkuasa tinggi klasik sebelum obor terbabit diserahkan kepada Othman yang juga Ahli Parlimen Jerlun.

Othman ketika ditemui, berkata larian obor akan berlangsung di Kedah selama tiga hari pasti menimbulkan keterujaan kepada rakyat menjelang temasya sukan yang bakal berlangsung Ogos depan.

"Larian ini secara tidak langsung menguar-uarkan kepada orang ramai yang negara akan menganjurkan Sukan SEA Ke-29.

"Paling penting kita mahukan sokongan dan doa rakyat Malaysia supaya kita selaku tuan rumah menjadi juara keseluruhan pada temasya ini nanti," katanya.

Berita Harian X