Sabtu, 17 Jun 2017 | 4:44pm

Lelaki maut ketika selenggara pam sedut pasir


MAYAT Mohd Shafik Mohd Fadhil, 32, yang ditemui pasukan penyelamat di air (PPDA) selepas terjatuh ke Sungai Sidam, di sini, ketika cuba menyeberangi sungai untuk menyelenggara pam penyedut pasir, pagi tadi -Foto Omar Osman

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut akibat lemas selepas terjatuh ke Sungai Sidam, di sini hari ini ketika cuba menyeberangi sungai untuk menyelenggara pam penyedut pasir.

Mangsa, Mohd Shafik Mohd Fadhil, 32, disahkan meninggal dunia selepas mayatnya ditemui pasukan penyelamat di air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira jam 3.50 petang.

Terdahulu, mangsa dikatakan terjatuh kira-kira jam 11.30 pagi di sungai berkenaan berhampiran Kampung Lubuk Kiab, dekat Padang Serai, di sini, sebelum pihak bomba dihubungi untuk membantu.

Jurucakap JBPM Kedah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.56 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan Kulim dikejarkan ke lokasi bersama bot aluminium untuk operasi mencari dan menyelamat.

Selain itu, katanya PPDA daripada Sungai Petani turut dikejarkan ke lokasi untuk membantu operasi pencarian khususnya menggunakan teknik selaman.

"Hasil selaman dilakukan dua penyelam PPDA kemudian berjaya menemui mangsa di lokasi dia dilapor terjatuh, sebelum dibawa ke darat.

"Pemeriksaan dilakukan petugas perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

38 dibaca
Berita Harian X