Sabtu, 17 Jun 2017 | 3:11pm

Ibarat mati hidup semula

PENDANG: Seorang pemuda terpaksa bergelut dengan ajal selepas lehernya terjerut dalam keadaan tubuhnya tergantung di pokok kelapa setinggi 3.7 meter di Kampung Kobah, Kota Sarang Semut, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi Khamis lalu ketika mangsa, Mohd Zulhisyam Zulkifli, 23, sedang menebang tandan kelapa muda di pokok terbabit, sebelum terjatuh dan terjerut.

Satu rakaman video turut tersebar melalui laman media sosial sehingga 'viral' mengenai kejadian itu yang jelas memaparkan keadaan Mohd Zulhisyam bergelut hampir empat minit ketika tubuhnya tergantung pada pokok kelapa itu, sebelum diselamatkan penduduk kampung.

Mohd Zulhisyam ketika ditemui mengakui dirinya ibarat 'mati hidup semula' kerana terselamat daripada ajal dalam kejadian itu.

"Selepas kejadian itu saya pengsan dan hanya tersedar ketika berada di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dekat sini...sejujurnya saya langsung tidak ingat apa yang berlaku sebelum itu walaupun saya dikatakan dapat berdiri sebaik terjatuh ke tanah.

"Apa yang saya ingat saya memanjat pokok kelapa terbabit dan sebaik sahaja memotong tandan, keadaan jadi tidak terkawal menyebabkan tali terjerut pada leher menyebabkan saya tergantung pada pokok.

"Ketika itu, saya hanya ingat ajal saya sudah sampai dan saya dapat dengar suara orang di bawah meminta saya mengucap kalimah syahadah...saya sempat menyebutnya sebelum pengsan dan sebaik sedar saya sudah berada di hospital," katanya.

 

Berita Harian X