Jumaat, 16 Jun 2017 | 9:17pm

Formula stabilkan harga minyak akan diumumkan

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin (kiri) menyampaikan zakat Bank Rakyat kepada asnaf Parlimen Larut di Arena Batu Kurau. - Foto Nor Raidah Awang

BATU KURAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengumumkan satu formula baharu yang akan menguntungkan semua pihak, termasuk pengguna, pengusaha stesen serta syarikat minyak dalam usaha menstabilkan industri minyak negara.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, formula berkenaan yang akan diumumkan minggu depan diharap dapat diterima semua pihak kerana ia dilakukan demi kepentingan rakyat secara keseluruhan.

"Saya tengah mencari dan memuktamadkan satu formula dan insyaAllah, saya akan bincang sekali lagi dengan syarikat minyak dalam memastikan ia mampu menguntungkan semua pihak.

"Minggu lepas, saya sudah berbincang dengan mereka (syarikat minyak), begitu juga dengan Kementerian Kewangan. Jadi, minggu depan adalah perbincangan akhir dengan mereka dan saya akan umumkan bagaimana untuk menstabilkan industri kita ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pengagihan Zakat Bank Rakyat kepada 1,530 asnaf Parlimen Larut di Arena Batu Kurau di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, rakyat juga perlu bersikap adil serta memahami situasi semasa 3,500 pengusaha stesen minyak yang berkemungkinan berdepan kerugian sekiranya harga minyak terus menurun.

"Kadang-kadang, saya kasihan dengan pengusaha stesen minyak, apabila harga turun dan turun, mereka rugi. Bayangkan apa keadaan kita jika kita menjadi seperti mereka.

"Sudah tentu mereka merasakan bahawa mereka menjadi mangsa dan rakyat yang untung. 

"Sepatutnya, rakyat juga harus bersimpati dengan mereka kerana bekalan minyak kita mencukupi, namun, sekiranya banyak yang tutup, kita hendak dapatkan minyak dari stesen ke satu stesen pun jauh," katanya.

Berita Harian X