Jumaat, 16 Jun 2017 | 2:13pm
SEBAHAGIAN pelajar membantu melapah daging di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau..
PELAJAR Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau berbuka pada program majlis berbuka puasa Semarak Ramadan BH bersama SL1M, malam tadi

1,500 meriahkan Semarak Ramadan BH bersama SL1M


ROSLI bersama Norashikin beramah mesra dengan anak asnaf yang menerima bantuan program majlis berbuka puasa Semarak Ramadan BH bersama Skim latihan 1Malaysia (SL1M) di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau, semalm.

Rembau: Program Semarak Ramadan Berita Harian (BH) Bersama Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di sini semalam, berlangsung meriah dengan majlis berbuka puasa dihadiri kira-kira 1,500 orang.

Semarak Ramadan BH diadakan sejak 2009 dengan kerjasama pelbagai pihak dan ini kali pertama syarikat akhbar berkenaan bekerjasama dengan SL1M.

SL1M dilancarkan pada 1 Jun 2011 bagi membantu graduan menganggur meningkatkan keupayaan diri, mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja seterusnya meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan.


PENDUDUK kampung bergotong-royong melapah daging di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau.

Dua lembu disembelih

Program di Rembau bermula seawal jam 9 pagi dengan dua lembu disembelih, dilapah secara gotong-royong oleh kira-kira 100 orang dari kalangan kakitangan SL1M, BH serta warga STIAS di pekarangan kantin sekolah berkenaan.

Gotong-royong itu bagi menyediakan majlis berbuka puasa dan membuat bubur lambuk yang  kemudian turut diedarkan di Bazar Ramadan Rembau dan beberapa masjid sekitar.

Pada majlis iftar program, STIAS yang menjadi tuan rumah menerima limpahan keberkatan Ramadan apabila menerima sumbangan SL1M berupa 100 rehal buatan pelajar Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu, Kelantan.


PELAJAR Sekolah Tinggi Islam As Sofa mengedarkan bubur lambuk di Bazar Ramadan Rembau, semalam.

700 pelajar terima sumbangan dana BH

Selain itu, sekolah persendirian yang mempunyai kira-kira 700 pelajar itu menerima sumbangan dana daripada BH untuk tujuan pembangunan sekolah berkenaan.

Sumbangan SL1M disampaikan oleh Ketua Sekretariatnya, Norashikin Ismail, manakala BH diwakili Pengarang Eksekutif Pengeluaran (Percetakan/Digital), Rosli Safar.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Amran Ismail dan Pengetua STIAS, Nor Badrulzaman Nordin.

Berita Harian X