Jumaat, 16 Jun 2017 | 9:03am

Heung-Min terlepas aksi pramusim Spurs


SON Heung-Min

LONDON: Son Heung-Min mungkin terlepas permulaan pramusim Tottenham Hotspur selepas penyerang Korea Selatan berkenaan disahkan akan menjalani pembedahan tangan.

Heung-Min mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika perebutan bola di udara pada kempen kelayakan Piala Dunia menentang Qatar.

Imbasan menunjukkan pemain 24 tahun itu mengalami keretakan di lengan kanan dan pembedahan yang bakal dilakukan mungkin menyaksikan pemain itu tersisih sekurang-kurangnya empat minggu.

Pengendali Spurs, Mauricio Pochettino kembali membawa pasukannya menjalani latihan pramusim sebelum berkunjung ke Amerika Syarikat untuk tempoh 10 hari.

"Heung-Min akan menjalani pembedahan," kata kelab itu menerusi satu kenyataan.

"Pemain antarabangsa Korea Selatan itu mengalami kecederaan ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Qatar di Doha. Imbasan dilakukan menunjukkan ada keretakan di bahagian lengan kanan.

"Dia akan terus dipantau oleh kakitangan perubatan kelab sebelum musim baharu." - AFP

Berita Harian X