Khamis, 15 Jun 2017 | 6:12pm

STIAS terima sumbangan SL1M, BH


ROSLI bersama Norashikin beramah mesra bersama anak-anak asnaf yang menerima bantuan pada program iftar sempena Semarak Ramadan BH Bersama SL1M di STIAS di Rembau. - Foto Hazreen Mohamad

REMBAU: Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Kota di sini, menikmati limpahan keberkatan Ramadan apabila menerima bantuan melalui program Semarak Ramadan Berita Harian (BH) Bersama Skim 1Malaysia (SL1M) hari ini.

Sekolah yang beroperasi sejak 2004 itu menerima 100 rehal buatan pelajar Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu, Kelantan, sumbangan SL1M.

Selain itu, sekolah yang mempunyai kira-kira 700 pelajar itu menerima sumbangan dana dari BH untuk pembangunan sekolah itu.

Penyampaian sumbangan itu dibuat ketika program iftar sempena Semarak Ramadan BH Bersama SL1M di STIAS di sini, petang ini.

Sumbangan SL1M disampaikan oleh Ketua Sekretariat, Norashikin Ismail, manakala BH diwakili oleh Pengarang Eksekutif Pengeluaran (Percetakan/Digital), Rosli Safar.

Norashikin berkata, sumbangan itu membolehkan sekolah yang mendapat pengiktirafan lima bintang oleh Kementerian Pendidikan terus berjaya melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang di dunia, malah akhirat.

Katanya, SLIM akan terus mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak dengan Semarak Ramadan bersama BH berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan.

Berita Harian X