Khamis, 15 Jun 2017 | 2:45pm

MyDaftar bukan untuk pilihan raya


ORANG ramai di kaunter pendaftaran MyDaftar di Pejabat Pendaftran Negara Negeri Selangor, Bangunan Masalam, Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan program MyDaftar yang dilancarkan sejak 2011 bertujuan memberi kerakyatan kepada warga asing untuk tujuan pilihan raya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Yazid Ramli, berkata pemberian taraf kerakyatan dibuat berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, selain menyifatkan dakwaan pihak tertentu bahawa JPN sewenang-wenangnya meluluskan taraf kerakyatan, tidak disertakan bukti kukuh.

"Kalau hendak mohon kerakyatan, pihak JPN akan temuduga pemohon. Kalau pemohon beritahu dia lahir di Malaysia, kita akan tanya hospital mana serta siapa bidannya.

"Kalau lahir di Malaysia mesti ada suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin). Kalau untuk mohon kerakyatan anak pula, kita akan minta Jabatan Kimia buat DNA (sampel asid deoksiribonukleik). Kena bukti betul-betul lahir di Malaysia, baru dapat kerakyatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pelan Tindakan Kaum India Malaysia (MIB) di JPN Selangor di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa antara 200,000 hingga 300,000 masyarakat India di negara ini tidak memiliki sijil lahir dan kad pengenalan, Mohd Yazid sekali menegaskan setiap dakwaan perlu disertakan bukti kukuh.

"JPN dan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Masyarakat India (SITF) sedang menganjurkan program Mydaftar bermula 5 hingga 22 Jun ini. Kalau benar ada sebegini ramai bilangan masyarakat India tiada dokumen pengenalan diri, kenapa mereka tidak tampil?

"Sejak program ini dianjurkan, hanya 1,358 masyarakat India tampil memohon kad pengenalan. Daripada jumlah ini, hanya 222 sahaja yang mengemukakan dokumen lengkap," katanya.

Sepanjang pelaksanaan program MyDaftar dari 2010 hingga 2016, hanya 12,726 permohonan diterima, bilangan yang lulus ialah 7,126, ditolak (626) dan dalam pertimbangan (4,974).

Berita Harian X