Khamis, 15 Jun 2017 | 1:53pm

Warga emas hilang ditemui selamat


ANGGOTA bomba membawa warga emas yang dilaporkan hilang di Disso Awik, Saratok, pagi tadi. - Foto ihsan Bomba

SARATOK: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas pergi ke kebun di Disso Awik, di sini, sejak petang semalam, ditemui selamat pagi ini.

Mawar Ranggai, 73, dikatakan pergi ke kebunnya yang terletak berdekatan Rumah Panjang Junaidi Melina, pada jam 9 pagi semalam, namun tidak pulang ke rumah sehingga jam 6 petang.

Bimbang dengan keselamatan lelaki berkenaan yang mengalami masalah daya ingatan, selain sakit kaki, penduduk kampung melancarkan gerakan mencarinya.

Selepas usaha mereka gagal, mereka membuat laporan di Balai Polis Saratok, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada jam 10.03 malam tadi dan tiga anggota dikerah ke tempat kejadian.

Bagaimanapun, keadaan gelap menyukarkan operasi mencari dan menyelamat sehingga memaksa pencarian dilakukan pagi ini dengan bantuan penduduk kampung.

"Mangsa akhirnya ditemui oleh bomba dalam keadaan lemah pada jam 9.32 pagi tadi, kira-kira 1.2 kilometer dari Pos Kawalan Bomba. Mangsa kemudiannya dirawat oleh unit EMRS sebelum dihantar ke Hospital Saratok untuk rawatan lanjut," katanya.


MANGSA dihantar ke Hospital Saratok untuk rawatan lanjut. - Foto ihsan Bomba

Berita Harian X