Khamis, 15 Jun 2017 | 12:56pm

Persediaan Semarak Ramadan meriah


Sebahagian daripada pelajar dan orang kampung melakukan aktiviti gotong royong dan melapah daging sempena program majlis berbuka puasa semarak ramadan BH bersama Skim latihan 1Malaysia (SL1M) di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau. - Foto NSTP/HAzreen Mohamad

REMBAU: Persediaan penganjuran program Semarak Ramadan BH bersama Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di sini, berlangsung dalam suasana meriah pagi ini.

Kira-kira 100 orang dari SL1M, BH serta guru dan pelajar STIAS, bertungkus lumus seawal jam 10 pagi untuk melapah dua ekor lembu sertai menyediakan bahan untuk juadah majlis berbuka puasa petang ini.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata persediaan itu termasuk membuat bubur lambuk yang akan diedarkan kepada penduduk sekitar Rembau, petang ini.

Katanya, penyediaan juadah berbuka puasa dan membuat bubur lambuk ini yang dibuat di pekarangan kantin juga mengembalikan semangat gotong royong yang menjadi amalan masyarakat negara ini sejak dahulu.

"Kerjasama dengan BH menganjurkan program Semarak Ramadan membolehkan semangat bulan penuh keberkatan yang menggalakkan umat Islam banyak bersedekah dicapai," katanya ketika ditemui di STIAS, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarang Eksekutif Pengeluaran (Percetakan/Digital) BH, Rosli Safar dan Pengurus Kanan Pengiklanan The New Straits Times Press (NSTP), Wan Rafilin Wan Mohd Noor.

Norashikin berkata, STIAS dipilih sebagai lokasi Semarak Ramadan kerana reputasi sekolah ini yang sangat baik dari segi akademik, selain berstatus sekolah tahfiz yang diiktiraf dan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Rosli berkata, BH menganjurkan program Semarak Ramadan setiap tahun sejak 2009 dengan kerjasama pelbagai pihak dari sektor korporat dan agensi kerajaan.

Katanya, tahun ini adalah kali pertama BH bekerjasama dengan SL1M yang memberi komitmen tinggi menjayakan Semarak Ramadan.

"Melalui program ini, BH juga dapat mengeratkan hubungan dengan masyarakat, terutama pembaca yang terus setia bersama BH sejak 60 tahun lalu," katanya.

Petang ini, rombongan Semarak Ramadan, akan mengunjungi beberapa tempat, termasuk Bazar Ramadan di sini, untuk mengedarkan bubur lambuk dan apron kepada orang ramai dan peniaga.

Ini diikuti majlis penyampaian sumbangan zakat kepada pelajar, tazkirah Ramadan, berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih di STIAS.

Pengarang Eksekutif pengeluaran percetakan dan digital BH, Rosli Safar (kanan) bersama Pengurus pembangunan dan sumber manusia Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau melapah daging pada program gotong royong sempena program majlis berbuka puasa semarak ramadan BH bersama Skim latihan 1Malaysia (SL1M) di Sekolah Tinggi Islam - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Sebahagian daripada pelajar dan orang kampung melakukan aktiviti gotong royong dan melapah daging sempena program majlis berbuka puasa semarak ramadan BH bersama Skim latihan 1Malaysia (SL1M) di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau. - Foto NSTP/HAzreen Mohamad
Sebahagian daripada pelajar dan orang kampung melakukan aktiviti gotong royong dan melapah daging sempena program majlis berbuka puasa semarak ramadan BH bersama Skim latihan 1Malaysia (SL1M) di Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau. - Foto NSTP/HAzreen Mohamad
Berita Harian X