Khamis, 15 Jun 2017 | 11:57am

Polis tahan 18 suspek, rampas 33.4kg ganja


SEBAHAGIAN daripada 38 batang pokok ganja yang dirampas oleh JSJN Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. - Foto Muhammad Sulaiman

TIMBALAN Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab (kanan) menunjukkan ketulan ganja mampat pada sidang media mengenai kejayaan rampasan dadah jenis ganja seberat 33 kilogram dan 38 batang pokok ganja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor berjaya merampas dadah jenis ganja bernilai RM81,000 dalam enam serbuan, membabitkan lima kes di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, hasil serbuan berkenaan pihaknya berjaya merampas kira-kira 33.4 kilogram ganja yang sudah diproses.

"Jumlah berkenaan tidak termasuk 38 pokok ganja yang masih belum matang yang dirampas dalam sebuah unit kondominium di Puchong.

"Keenam-enam serbuan diadakan dalam tempoh seminggu, membabitkan kawasan Puchong, Kajang, Gombak, Ampang dan Setapak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis juga menahan 14 lelaki dan empat wanita yang dipercayai terbabit dalam menanam, memproses, mengedar ganja sekitar Lembah Klang.

"Kesemua suspek untuk lima kes berusia antara 22 hingga 40 tahun.

"Jumlah ganja yang dirampas ini dianggarkan boleh mengakibatkan penyalahgunaan oleh 3,340 orang penagih dadah," katanya.

Ab Rashid berkata, kesemua suspek bagi lima kes berkenaan ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B; Seksyen 6 serta Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

38 dibaca
Berita Harian X