Rabu, 14 Jun 2017 | 11:15pm

Ops Khas Aidilfitri fokus 3 laluan masuk utama


MAHASAN menyampaikan sumbangan zakat kepada anak yatim PEKAYATIM pada majlis berbuka puasa di perkarangan Jabatan Pengangkutan Jalan Kelantan Pengkalan Chepa. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Kira-kira 200,000 kenderaan dijangka masuk ke negeri ini menjelang Aidilfitri nanti.

Sehubungan itu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan Ops Khas Aidilfitri bermula 18 Jun hingga 2 Julai ini.

Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapa, berkata seramai 240 anggota akan menjalankan rondaan dan tugasan di tiga laluan masuk utama termasuk beberapa lokasi panas yang dikenal pasti.

"Dalam tempoh itu kita akan adakan rondaan hingga jam 12 tengah malam manakala dua hari sebelum dan selepas Aidilfitri pula rondaan dibuat selama 24 jam.

"Kita fokus kepada tiga laluan masuk utama iaitu Jeli, Gua Musang dan Pasir Puteh termasuk beberapa lokasi 'hot spot' yang sudah dikenal pasti," katanya pada majlis berbuka puasa di perkarangan JPJ Panji, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 20 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (PEKAYATIM) diraikan dan diberi sumbangan tunai serta makanan.

Mengulas lanjut, Mahasan berkata, kadar kemalangan dan kesalahan jalan raya kebelakangan ini semakin berkurangan dengan keberkesanan pemasangan sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

Sistem AWAS mula dipasang di negeri ini sejak Februari lalu di Kilometer 17 Gua Musang yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

"Memang ada banyak lagi lokasi dan sistem ini akan dipasang secara berperingkat yang dimulai sejak Februari lalu sebagai percubaan.

"Berdasarkan hasil yang diperoleh, difahamkan terdapat kesan positif dengan pemasangan sistem itu yang menunjukkan penurunan dalam kadar kemalangan jalan raya," katanya.

Berita Harian X