Rabu, 14 Jun 2017 | 5:48pm

SL1M sumbang rehal untuk Semarak Ramadan BH


KETUA Pengarah Unit Perancang Ekonomi JPM, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid bersalam dengan Pengarah ILPKB, Zainudin Ahmad (kiri) selepas menyerahkan rehal kepada SL1M dan turut bersama Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail (kanan) semasa majlis penyerahan rehal di Unit Perancang Ekonomi JPM. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Sebanyak 100 buah rehal disumbangkan Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) kepada Sekolah Tinggi As Sofa bersempena program Semarak Ramadan Berita Harian di Rembau, esok.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata setiap tahun SLIM akan mengadakan program amal bersempena Ramadan dan tahun ini SL1M memilih untuk bekerjasama dengan Yayasan As Sofa dan akhbar Berita Harian (BH).

"Pihak Yayasan As Sofa memaklumkan kepada kami bahawa Sekolah Tinggi As Sofa memerlukan rehal bagi kegunaan pelajar tahfiznya mendalami ilmu al-Quran.

"Kami bersetuju untuk menyumbangkan rehal kepada sekolah ini kerana Sekolah Tinggi Islam As Sofa adalah sekolah tahfiz yang diiktiraf dan mempunyai reputasi yang sangat baik.

"Rehal yang disumbangkan ini adalah hasil kemahiran lima pelajar Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu (ILPKB) yang menyiapkannya dalam tempoh dua minggu," katanya pada majlis penyerahan rehal di Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Pada majlis itu, Pengarah ILPKB, Zainudin Ahmad menyerahkan rehal kepada Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid untuk program Semarak Ramadan.

Norashikin berkata, menerusi kerjasama dengan ILP, SL1M dapat membeli rehal pada harga yang istimewa dan pada masa sama tempahan rehal itu membantu meningkatkan kemahiran pelajar dalam menghasilkan produk berasaskan kayu.

Berita Harian X