Rabu, 14 Jun 2017 | 4:27pm
TIMBALAN Pengerusi ANGKASA Kelantan, Wan Mohd Zain Wan Abdullah melakukan akad penyerahan wang zakat kepada Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr Nik Azlan Abd Hadi (empat kanan) di Bilik Mesyuarat, Bangunan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Lundang.

ANGKASA serah zakat perniagaan


TIMBALAN Pengerusi ANGKASA Kelantan, Wan Mohd Zain Wan Abdullah melakukan akad penyerahan wang zakat kepada Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr Nik Azlan Abd Hadi (empat kanan) di Bilik Mesyuarat, Bangunan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Lundang.

KOTA BHARU: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM82,855.03 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), hari ini.

Timbalan Pengerusi ANGKASA Kelantan, Wan Mohd Zain Wan Abdullah, menyerahkan zakat perniagaan itu bagi tempoh kewangan berakhir 2016 kepada Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

Wan Mohd Zain berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada agihan keseluruhan zakat ANGKASA bagi sepanjang tahun 2016 yang berjumlah RM1,833,092.28.

Katanya, berbanding tahun 2015, ANGKASA sudah mengagihkan zakat perniagaan berjumlah RM1,413,906.15 dan ini menunjukkan peningkatan hampir RM400,000.

"Selain agihan zakat disalurkan kepada MAIK, dalam masa sama kami turut membantu golongan asnaf yang memerlukan termasuk ahli ANGKASA yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Kami di ANGKASA bukan hanya mementingkan keuntungan perniagaan semata-mata untuk pembangunan koperasi, sebaliknya turut melaksanakan aspek kebajikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan di Pejabat MAIK, di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, Nik Mohd Azlan berkata, kutipan zakat sehingga semalam adalah sebanyak RM71.8 juta berbanding RM61.8 juta untuk tempoh sama pada tahun lalu.

Berita Harian X