Rabu, 14 Jun 2017 | 9:37am

MU uji lapan muka baharu di Paroi

BARISAN pemain baharu Melaka United yang akan beraksi dalam baki perlawanan Liga Super 2017, pada sidang akhbar, semalam. Dari kiri, S. Sivanesan dari PKNS FC; Nur Hakim Isa (Perak FA); Nicholas Ryan Swirad (JDT II); Jasmin Mecinovic (Pellister FC); Marko Simic (Negeri Sembilan FC); Felipe De Almeida Souza dari Oeste FC; Mohd Azinee Taib (JDT II) dan Mohamad Fandi Othman (JDT II). - Foto BERNAMA

MELAKA: Skuad Liga Super Melaka United (MU) bakal menurunkan lapan pemain baharu pasukan terbabit pada aksi persahabatan bertemu Negeri Sembilan di Paroi, malam ini.

Pengurus MU, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, ia aksi pertama buat semua pemain berkenaan yang digabungkan selepas menandatangani kontrak bersama pasukan terbabit Isnin lalu.

Menurutnya, pemain berkenaan ialah Fandi Othman bersama dua lagi rakannya dari Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Mohd Azinee Taib dan Nicholas Ryan Swirad, Nor Hakim Isa (Perak) dan S Sivanesan (PKNS) antara taruhan buat skuad terbabit dalam kalangan pemain tempatan.

Katanya, kehadiran import baharu Felipe de Souza dari Brazil, Jasmin Mecinovic (Macedonia) dan Marco Simic dari Croatia sempena jendela perpindahan pemain musim ini, diharap mampu memberi sinar buat skuad Hang Tuah itu.

"Saya jangka ia pertemuan menarik buat kedua-dua pasukan, tambahan Negeri Sembilan juga bakal menguji pemain baharunya, sekali gus memberi peluang buat pemain kami mencari persefahaman.

"Saya mahukan mereka serta pemain sedia ada menunjukkan prestasi sebenar walaupun pertama kali diturunkan bersama, terutama dalam mencetuskan gerakan serta persembahan yang lebih tersusun," katanya.

Yusoff berkata, walaupun dibimbing penolong jurulatih G Selvamohan dan Norizam Ali Hassan sebelum kehadiran jurulatih baharu bagi menggantikan Eric Williams, dia yakin mereka akan menampilkan aksi terbaik.

Ketika ditanya mengapa memilih pemain tanpa kehadiran jurulatih, Yusoff berkata, ia pernah dilakukan sebelum ini ketika MU bersaing dalam Liga FAM dan Liga Perdana.

Berita Harian X