Rabu, 14 Jun 2017 | 8:53am
Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang terbabit dalam satu kemalangan sebuah van Toyota Commuter merempuh belakang lori treler membawa baja di Kilometer 327.2, Lebuh Raya Pantai Timur2 LPT2, dekat Kerteh awal pagi tadi yang menyebabkan tiga warga Thailand maut manakala enam cedera parah. - Foto Rosli Ilham
Keadaan sebuah van Toyota Commuter yang remuk selepas merempuh belakang sebuah treler membawa baja di Kilometer 327.2, Lebuh Raya Pantai Timur2 LPT2, dekat Kerteh awal pagi tadi menyebabkan tiga warga Thailand maut manakala enam cedera parah. - Foto Rosli Ilham

Tiga maut, 6 parah van rempuh treler

Keadaan sebuah van Toyota Commuter yang remuk selepas merempuh belakang sebuah treler membawa baja di Kilometer 327.2, Lebuh Raya Pantai Timur2 LPT2, dekat Kerteh awal pagi tadi menyebabkan tiga warga Thailand maut manakala enam cedera parah. - Foto Rosli Ilham

CHUKAI: Tiga warga Thailand maut manakala enam lagi parah selepas van yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 327.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Kerteh, awal pagi tadi.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 3.20 pagi ketika semua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Kuantan untuk pulang ke Pattani, Thailand.

Van terbabit dikatakan merempuh bahagian belakang sebuah treler yang membawa baja.

Ketiga-tiga mangsa yang maut, termasuk seorang daripadanya putus kaki adalah lelaki.

Seorang wanita berusia 41 tahun yang belum diperoleh identitinya dilaporkan kritikal manakala empat yang parah iaitu dikenali Nasmee, 16, Royita, 30, Kado, 53, dan pemandu van, Mohd Nasri, 41, diberi rawatan di Hospital Dungun. 

Seorang lagi lelaki yang turut parah dan belum diperoleh identitinya dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Rempuhan kuat terbabit menyebabkan van jenis Toyota Commuter itu remuk teruk dan menyebabkan semua mangsa tersepit.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Pegawai Bomba Kanan II, Alias Latif berkata, seramai 10 anggota Bomba dari Balai Bomba Kerteh dan Paka dengan dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, anggota bomba mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit di tempat duduk.

"Tiga penumpang van maut di tempat kejadian manakala semua yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun.

"Jenazah mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X