Isnin, 12 Jun 2017 | 9:28pm

Melania, Barron akhirnya berpindah ke Rumah Putih


DONALD Trump (tengah), Melania Trump dan anak lelaki mereka Barron Trump tiba di Pangkalan Tentera Udara Andrews, Maryland. - Foto AFP

WASHINGTON: Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS) Melania Trump dan anak lelakinya Barron, akhirnya berpindah ke Rumah Putih di alamat 1600 Pennsylvania Avenue.

Seorang pembantunya memberitahu AFP, enam bulan selepas Presiden Donald Trump tiba, bekas model kelahiran Slovenia dan Barron, 11, akhirnya berpindah menjadi satu keluarga.

Ibu dan anak itu sebelum ini tinggal di New York supaya Barron dapat menghabiskan tahun persekolahannya.

Beliau dijangka bersekolah di St Andrews Episcopal, terletak di luar bandar ini untuk sesi persekolahan 2017-2018.

Sebelum sampai di ibu kota ini, Melania dan Barron tiba bersama Trump menaiki pesawat Air Force One di Pangkalan Udara Andrews, bersama anak lelaki mereka yang leka bermain 'fidget spinner.'

Ibu bapa Melania menyertai keluarga itu dalam penerbangan pendek dari Bedminster, New Jersey, bandar Trump menghabiskan hujung minggu bermain golf.

Selepas tiba di Rumah Putih, Melania menghantar tweet gambar dari tingkap Rumah Putih menghala ke Laman Selatan dan Tugu Washington.

"Tidak sabar mencatat memori di rumah baharu! #Movingday (hari berpindah)," tulisnya.

Melania adalah Wanita Pertama dalam sejarah moden menangguhkan perpindahannya ke Washington selepas kemenangan pilihan raya.

AFP

Berita Harian X