Isnin, 12 Jun 2017 | 4:13pm

Enam beranak dikebumi satu liang

BACHOK: Jenazah enam beranak yang maut dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Jempol, semalam, akan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Seberang Jelawat, Bachok.


ABANG ipar mangsa, Azmi Hamzah, 59, ketika ditemui di rumah keluarga itu di Kampung Pak Amin, Jelawat, Bachok. - Foto Syamsi Suhaimi

Mereka ialah Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 51; Masnoraida M Yusoff, 45; Wan Muhammad Muhaimmin, 22; Wan Nor Athira, 18; Wan Mohd Ammar Haziq, 13 dan Wan Nur Aiesya, 7.

Abang ipar arwah Wan Mohd Fauzi, Azmi Hamzah, 59, berkata jenazah akan dibawa ke Masjid Naim, Jelawat untuk disembahyangkan terlebih dahulu sebelum dibawa ke tanah perkuburan terbabit.

Katanya, buat masa ini, jenazah enam beranak itu dijangka tiba waktu malam.

Ketika ini, proses bedah siasat sedang dijalankan di Hospital Jempol, Negeri Sembilan.

"Semua jenazah akan dikebumikan dalam satu liang," ketika ditemui di Kampung Padang Pak Amin, Bachok, hari ini.

Azmi berkata, beliau mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi anak saudaranya, Wan Muhamad Hazim, 19, kira-kira lima jam selepas kejadian.

"Pada mulanya, saya dimaklumkan hanya arwah (Wan Mohd Fauzi) meninggal dunia, namun selepas saya periksa dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, saya diberitahu isteri dan empat anak arwah turut maut.

"Hanya Allah sahaja tahu perasaan saya ketika itu. Baru sehari sebelum kejadian saya berhubung dengan Wan Muhammad Muhaimmin dan berpesan supaya dia mengaji al-Quran," katanya.

Kemalangan di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, dekat Ladang Risda Palong, itu turut menyebabkan sepasang lagi suami isteri maut.

54 dibaca
Berita Harian X