Rabu, 14 Januari 2015 | 4:36pm
Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd mencatat rekod jualan tertingginya di Malaysia tahun lalu apabila menjual 9,419 unit, meningkat 17 peratus berbanding tahun sebelumnya. - Foto hiasan/Reuters

Mercedes-Benz sasar satu lagi rekod jualan tahun ini

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd mencatat rekod jualan tertingginya di Malaysia tahun lalu apabila menjual 9,419 unit, meningkat 17 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Roland S Folger, berkata dibantu jualan kukuh pada suku kewangan keempat 2014 dengan mencatat pertumbuhan jualan 46 peratus, peningkatan jualan itu dipacu jualan konsisten lebih 900 unit kenderaan sebulan.

Segmen kereta penumpang meningkat 29 peratus tahun lalu kepada 6,932 unit daripada 5,388 unit tahun sebelumnya.

"Model utama iaitu C-Class, E-Class dan S-Class, mencatat jualan terbesar sebanyak 4,575 unit, mewakili peningkatan 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Generasi baharu S-Class yang diperkenalkan Mac tahun lalu, mencatat jualan memberangsangkan apabila 635 unit berjaya dijual, mewakili peningkatan jualan 388 peratus sejak 2013," katanya pada taklimat mengumumkan prestasi jualan 2014 Mercedes-Benz Malaysia di sini hari ini.

Melengkapi keluarga kereta kompak generasi baru (NGCC) ialah model CLA dan GLA, yang mana kedua-dua model itu menyumbang 2,322 unit kepada jualan, mewakili lonjakan hampir 100 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Folger berkata, syarikat terus menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) di rantau ini dengan pelaburan RM15 juta dalam kemudahan pemasangan di Pekan, Pahang yang menyaksikan pengeluaran model hibrid S400L Hybrid yang mendapat pengecualian cukai sepenuhnya daripada kerajaan sejak pelancarannya Mac tahun lalu.

"Mercedes-Benz Malaysia menyasar mencatat satu lagi rekod jualan pada tahun ini disokong tiga faktor utama iaitu menawarkan pengalaman pengguna yang tiada bandingan, pengenalan produk terbaik, dan inovasi dan teknologi tercanggih dalam industri," katanya sambil menambah model baharu pertama yang akan dilancarkan tahun ini ialah E300 BlueTEC Hybrid.

Kereta hibrid diesel yang dipasang di Malaysia itu akan dijual pada anggaran harga RM348,888 seunit.

Kemudahan pemasangan Mercedes-Benz Malaysia di Pekan memasang varian C-Class, E-Class dan S-Class.

Berita Harian X