Ahad, 11 Jun 2017 | 8:53pm

TMJ berangkat ke Program Membudayakan al-Quran


TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua dari kanan) bersalaman bersama hadirin pada Program Membudayakan Al-Quran Peringkat Negeri Johor di Masjid Jamek Bandar Tangkak. - Foto Adi Safri

TANGKAK: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini berangkat ke Majlis Khatam Quran Sempena Program Membudayakan al-Quran Peringkat Negeri Johor di Masjid Bandar Tangkak di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam; adinda baginda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Turut mengiringi, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadot dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

Pada majlis itu, Tunku Ismail turut menyertai program bacaan al-Quran bersama jemaah masjid, sebelum meluangkan masa berbuka puasa bersama umat Islam di masjid berkenaan.

Tunku Ismail turut menunaikan solat Maghrib yang diimamkan Imam Masjid Bandar Tangkak, Mohd Shafiee Bachok.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim dalam ucapannya berkata Majlis Khatam al-Quran itu sebahagian Program Membudayakan Quran Peringkat Johor yang diadakan sejak 1996.

"Program ini sudah menjadi acara rasmi kerajaan negeri sejak 22 tahun lalu dan menjadi usaha untuk memartabatkan syiar Islam di negeri ini. Ia dilaksanakan bagi memastikan rakyat di negeri ini celik al-Quran.

"Justeru, program ini diadakan pada Ramadan ini juga sememangnya mempunyai kaitan dengan al-Quran, selain menjadi ibadah yang afdal dilaksanakan oleh umat Islam," katanya.

Abd Mutalip berkata, kerajaan negeri juga komited dalam menjadikan masjid sebagai titik tolak bagi membangunkan umat Islam, khususnya di Johor.

12 dibaca
Berita Harian X