Ahad, 11 Jun 2017 | 7:09am

Dalang serangan nekad di Iran dibunuh


ORANG ramai berarak pada upacara pengebumian mangsa serangan di Parlimen dan makam Khomeini di Tehran. - Foto AFP

DUBAI: Pasukan keselamatan Iran berjaya membunuh dalang serangan berkembar di Tehran yang meragut 17 nyawa minggu ini, ketika kawalan diperketatkan di seluruh negara itu untuk menghalang kejadian berulang.

Militan Daesh mendakwa bertanggungjawab di atas serangan bom nekad dan tembakan di Parlimen dan makam pengasas republik Islam itu, Ayatollah Ruhollah Khomeini, Rabu lalu.

"Dalang dan komander kanan serangan pengganas di Parlimen dan makam Khomeini dibunuh hari ini oleh pasukan keselamatan," Menteri Perisikan, Mahmoud Alavi, dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Tasnim.

Alavi berkata, bulan lalu kementeriannya sudah mengenal pasti dan menghapuskan 'pasukan pengganas' hampir setiap hari tetapi tidak mengumumkannya bagi mengelakkan ketakutan kepada rakyat.

Pihak berkuasa Iran juga menahan tujuh orang yang disyaki membantu militan yang terbabit dalam serangan, kata pegawai perundangan, Ahmad Fazelian, semalam.

Katanya, ketujuh-tujuh mereka yang disyaki memberikan sokongan kepada 'kumpulan pengganas' ditahan di Fardis, kira-kira 50 kilometer ke barat Tehran, kata agensi berita Mizan. - Reuters

66 dibaca
Berita Harian X