Sabtu, 10 Jun 2017 | 4:33pm

MAIS selesai siasat AJK masjid

SHAH ALAM: Siasatan terhadap ahli jawatankuasa Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang yang sebelum ini membenarkan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, berucap dalam satu program dua minggu lalu, selesai.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, ahli jawatankuasa terbabit sudah dipanggil memberi keterangan isu itu.

"Siasatan sudah selesai dan jawatankuasa kariah akan bersidang untuk membincangkan perkara ini sebelum Aidilfitri.

"Sebarang keputusan, tindakan dan pelaksanaan akan dibuat selepas Aidilfitri," katanya kepada pemberita, hari ini.

Pada 2 Jun lalu, ketika bertitah merasmikan Masjid An Nur Temasya di Glenmarie, di sini, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi amaran tidak teragak-agak menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menamatkan perkhidmatan nazir, imam dan ahli jawatankuasa masjid yang melanggar serta tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Baginda juga mahu JAIS menyiasat dengan terperinci dan sekiranya ada bukti yang ahli jawatankuasa masjid melanggar peraturan yang sedia ada, tindakan selanjutnya hendaklah diambil terhadap mereka selepas Ramadan.

Sementara itu, Mohamad Adzib berkata, MAIS menyediakan senarai hitam individu yang dilarang memberi ceramah di Selangor.

"Perkara ini akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa, kemudian dibawa ke MAIS sebelum mendapatkan perkenan Sultan Selangor.

"Ada proses yang perlu diikuti sebelum didedahkan. Terpulang kepada jawatankuasa sama ada senarai dikeluarkan berperingkat atau serentak," katanya.

Berita Harian X